Sunday, 11 February 2018

Sekolah rendah, JPN tidak lagi guna Gred Purata Sekolah (GPS)

Imej via NST Online
PUTRAJAYA - Mulai tahun ini, Kementerian Pendidikan menetapkan semua sekolah rendah dan Jabatan Pelajaran Negeri tidak lagi mengamalkan Gred Purata Sekolah (GPS) bagi menentukan pencapaian akademik para murid, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin.

Beliau berkata ini adalah kerana GPS sahaja tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk melihat kejayaan sekolah serta pembangunan dan kemenjadian murid secara keseluruhan.

Bagaimanapun, katanya, GPS di sekolah menengah khususnya untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diteruskan bagi melihat pencapaian keseluruhan pelajar.

"Sebelum ini, GPS dijadikan sebagai petunjuk prestasi utama secara purata. Tetapi kami mendapati ia telah membawa kepada satu budaya yang tidak jurus kepada pembangunan murid. Ia juga menyebabkan negeri-negeri mula membandingkan sesama mereka negeri mana yang mencapai GPS di sekolah rendah.

"Akhirnya, GPS telah menyebabkan kami terlupa kepada individu murid yang unik dan berkebolehan. Ini bukan bermakna asas GPS tidak bagus untuk menentukan kualiti tetapi ia tidak membawa impak positif yang dikehendaki," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bengkel Pembangunan Modul Inspirasi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amin berkata pihaknya mahu murid dididik secara holistik dan tidak mementingkan pencapaian akademik semata-mata kerana para murid dinilai satu per satu di bawah empat komponen di Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) yang dilaksanakan tahun ini.

"Sekolah tidak lagi perlu mengejar GPS kerana penilaian murid sekarang melibatkan pencapaian akademik, pentaksiran bilik darjah; pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta pentaksiran psikometrik. Ia diukur satu per satu berdasarkan kebolehan murid. GPS bukannya untuk membuat perbandingan statistik. Itu bukan cara betul," katanya.

Dalam perkembangan lain, Amin berkata Program Literasi dan Numerasi (LINUS) yang diperkenalkan KPM bagi meningkatkan kadar kemahiran membaca dan mengira kalangan murid tahap satu di sekolah rendah telah berjaya dan memberikan impak yang memberangsangkan.

Katanya, program yang bermula sejak 2010 itu didapati memberi impak cukup positif dalam sistem pendidikan sekolah rendah khususnya bagi mengenal pasti murid yang mempunyai masalah pembelajarah lebih awal menerusi saringan yang dilakukan untuk melonjak kecemerlangan sistem pendidikan negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YaPEIM Datuk Abibullah Samsudin berkata bengkel pembangunan diadakan buat julung kali dan akan diperluaskan ke 139 daerah di seluruh negara tahun ini.

Katanya, pembangunan modul inspirasi yang melibatkan tiga kategori iaitu Ramadan, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan SPM tahun ini akan memberi manfaat kepada 150,000 pelajar dan guru melibatkan peruntukan RM12 juta.

"Daerah percubaan pertama adalah di Semporna, Sabah dalam pengajaran pengisian sahsiah dan program celik al-Quran untuk 200 murid UPSR di 40 Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Kebangsaan di sekitar Semporna. Kalau berjaya, akan dikembangkan ke tempat-tempat lain," katanya.

Sumber- Bernama

loading...

Google+ Followers