Monday, 19 February 2018

Penjawat Awam Bersara Awal Atas Sebab Kesihatan Bakal Terima Faedah Lebih Baik

PUTRAJAYA: Bakal pesara Atas Sebab Kesihatan (ASK) dengan faedah persaraan yang lebih baik akan diperkenalkan mulai April ini bagi penjawat awam yang bersara awal kerana tidak berupaya menjalankan kewajipan akibat kelemahan akal atau tubuh.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman, berkata mereka yang dibersarakan awal atas sebab kesihatan, antaranya kerana kemalangan jalan raya dan gangguan psikologi selepas disahkan Lembaga Perubatan, akan menerima faedah persaraan seolah-olah berkhidmat hingga umur persaraan wajib, mengikut formula yang munasabah.

"Kerajaan dapati kita perlu sediakan peraturan untuk penjawat awam yang tidak dapat menjalankan tugas atas sebab kesihatan. Jadi, kita berikan kelonggaran dibersarakan dalam keadaan cukup baik mengikut formula tertentu, iaitu mereka akan menerima faedah pencen bulanan yang lebih baik berbanding jika ditamatkan dengan serta-merta.

"Kalau mereka dibiarkan bertugas dengan keadaan tidak sihat, kesihatan mereka akan bertambah teruk kerana mereka tidak selesa dan ini akan menjejaskan produktiviti perkhidmatan awam," katanya dalam pertemuan dengan media di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, peraturan baharu yang digubal itu dipersetujui dan dipuji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta akan dibentangkan di Parlimen bulan depan.

Zainal Rahim, berkata anggaran permohonan penjawat awam yang mengalami gangguan kesihatan adalah antara 200 hingga 220 orang setahun.

Menerusi formula baharu itu, seorang penjawat awam yang mula berkhidmat pada April 2005 dan terpaksa diberhentikan tahun ini selepas 12 tahun dan 23 hari (yang sepatutnya bersara pada 2046) berkhidmat atas alasan kesihatan, dijangka menerima ganjaran RM70,000 dengan pencen bulanan RM1,200.

"Berbanding peraturan yang diguna pakai sekarang, penjawat awam itu hanya mendapat ganjaran RM21,600 dengan pencen bulanan RM479.99. Pencen bulanan mengikut formula baharu ini lebih hampir tiga kali ganda," katanya.

Dengan peraturan baharu itu, beliau menjangkakan lebih ramai penjawat awam yang menghadapi masalah kesihatan, yang sebelum ini enggan bersara awal kerana takut hilang sumber pendapatan, akan menawarkan diri untuk bersara awal mengikut peraturan ASK.

"Sebelum ini, ramai penjawat awam yang sakit keberatan untuk bersara awal. Antara alasan ialah mereka baru bertugas 10 atau 15 tahun dan perlu menanggung anak-anak yang masih bersekolah serta jumlah pencen rendah. Jadi, mahu tidak mahu, mereka terpaksa meneruskan kerja.

"Kerajaan prihatin dengan keadaan mereka. Kita tengok keluarga terpaksa hantar mereka dari jauh, ada yang naik kerusi roda datang pejabat, muka dalam keadaan tertekan dan bimbang. Jadi, kita sediakan peraturan baharu untuk mereka bersara dan hidup dengan selesa.

"Kalau dia (penjawat awam) tidak dapat kerja, dia tidak boleh dapat gaji. Dia mesti kena datang. Jadi, apa yang dibuat, kita beri mereka jalankan tugas-tugas mudah dan bagi yang tidak boleh kerja, mereka perlu bersara awal. Dasar ASK akan sentiasa menjaga kebajikan penjawat awam yang tidakperlu bimbang lagi," katanya. - BERNAMA

loading...

Google+ Followers