NUTP gesa semua institusi patuh arahan cuti Tahun Baru Cina

17:54:00
KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa semua ketua jabatan di semua institusi pendidikan mematuhi arahan cuti Tahun Baharu Cina 2018 yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Setiausaha Agungnya Harry Tan Huat Hock berkata ini berikutan pihaknya menerima aduan daripada guru dan pensyarah memaklumkan ketua jabatan mereka telah mengeluarkan arahan bertentangan dengan surat siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bil. 10 Tahun 2017.

Surat siaran itu menyebut Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2018 menurut kementerian telah memperuntukkan 15 dan 19 Feb (Khamis dan Isnin) ini sebagai cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Katanya perkara itu telah dibincangkan dan dipersetujui pada mesyuarat Penyediaan Takwim Persekolahan kementerian.

“Setiap pengarah atau wakil negeri perlu mematuhi dan akur dengan keputusan yang diputuskan serta mengikut surat siaran yang dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Katanya NUTP memohon Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid supaya campur tangan dalam perkara tersebut dan seterusnya menyelaraskan cuti perayaan Tahun Baharu Cina di semua institusi pendidikan agar tidak wujud salah faham dalam kalangan guru atau pensyarah dengan ketua jabatan.

Sumber - Bernama

loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »