Wednesday, 14 February 2018

Adakah Guru, Sekolah Boleh Disaman Jika Pelajar Kemalangan Di Sekolah?

Adakah guru dan pihak sekolah boleh disaman oleh ibu bapa jika berlaku kemalangan kepada pelajar di dalam kawasan sekolah?

Dalam kes Mohamed Raihan Ibrahim v. Kerajaan Malaysia (1981), Mahkamah menyatakan:-

"It is settled law that a school teacher is under a duty to exercise supervision over his pupils when they are in the school premises, either in the classroom or the playground. The degree of supervision depends on the circumstances of each case, such as the age of the pupils and what they are doing at the material time. If the teacher knows that the pupils are engaged in doing acts which are likely to cause injuries to one another, the teacher is under a duty to take steps to ensure the safety of the acts”

Posisi ini dikukuhkan lagi di dalam kes Silvadurai A/L Kunnary v. Pengetua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa Asahan Muar, Johor (1996).

Di dalam kes tersebut, Plaintiff, Silvadurai menyaman sekolah mendiang anaknya, Silvaprakash selepas anaknya maut akibat terjatuh dari permainan jongkang-jongkit di sekolahnya.

Silvaprakash telah terjatuh semasa bermain bersama rakannya semasa waktu rehat. Beliau telah terjatuh dan kepala beliau terkena batu yang dikumpulkan di kawasan taman permainan tersebut.

Kemudian Silva telah dibawa ke bilik darjah dan muntah darah. Beliau terbaring di atas meja. Muntahnya didakwa telah dibersihkan oleh rakan Silvaprakash.

Secara kasarnya tidak nampak sebarang kecederaan serius luaran dan guru yang merawat Silva memberitahu Pengetua perkara berkenaan dan oleh yang demikian Pengetua berkenaan tidak mendapatkan rawatan doktor dengan segera.

Pihak sekolah telah memberikan rawatan dengan meletakkan iodin kepada luka Silvaprakash. Walaubagaimanapun insiden muntah darah tersebut tidak dimaklumkan kepada Pengetua dan guru tersebut.

Silvarajah kemudian dijemput oleh ibunya pada pukul 1.00 tengahari dan membawa Silva ke klinik. Esoknya pula Silva di bawa ke Hospital Besar Melaka. Namun keadaan Silva semakin teruk dan akhirnya meninggal dunia.

Pengetua memberi keterangan di dalam Mahkamah bahawa pihak sekolah sudah mengingatkan pelajar semasa perhimpunan bahawa kawasan permainan adalah tidak selamat dan pelajar dilarang bermain di kawasan berkenaan.

Terdapat juga persoalan mengapa Silvaprakash tidak dirujuk secara terus ke Hospital Melaka tapi hanya dibawa ke klinik terlebih dahulu oleh ibunya memandangkan keadaannya semakin lemah?

Juga Mahkamah mempertimbangkan bahawa jika doktor di klinik tidak dapat mengesan kecederaan dalaman yang dialami oleh Silvaprakash, bagaimana seorang guru yang tidak mempunyai latar belakang perubatan boleh mengesannya?

Mahkamah juga diberitahu bahawa pihak Sekolah telah menjalankan semua tanggungjawab yang perlu dalam menghalang dan mengawal murid dari bermain di kawasan permainan terbabit.

Akhirnya Mahkamah memutuskan bahawa pihak sekolah tidak bersalah terhadap kematian Silvaprakash kerana pihak Pengetua dan sekolah telah melakukan segala yang terdaya di pihak sekolah.
loading...

Dalam kes Zazlin Zahira Kamarulzaman (1994), Mahkamah memutuskan peranan guru dalam menjaga pelajar seperti berikut:-

“Seorang guru bertanggung jawab menjaga keselamatan murid-murid di bawah jagaannya. Kewajipan berhati-hati ini mesti mengambil kira peluang dan kebolehan guru itu untuk melindungi murid-murid dari bahaya yang diketahui, dan tahap kewajipan ini adalah sama dengan kewajipan seorang bapa yang mempunyai anak ramai. Ia bukan kewajipan menjamin tidak akan berlaku kemalangan, tetapi sekadar kewajipan berhati-hati dengan munasabah untuk menjaga keselamatan murid-murid. Undang-undang tidak meletakkan tanggungjawab yang tegas (strict liability) ke atas guru”

Begitu juga dalam kes Kerajaan Malaysia v. Jumat Bin Mahmud (1977), Raja Azlan Shah CJ menyatakan bahawa tanggungjawab seorang guru menjaga anak muridnya adalah seperti seorang bapa menjaga anak-anaknya yang ramai dan guru diletakkan di atas tanggungjawab yang munasabah mengikut kemampuannya sahaja.

Jadi adalah jelas berdasarkan prinsip kes yang telah dibincangkan di atas, guru dan sekolah boleh dipertanggungjawabkan jika langkah yang munasabah tidak diambil untuk menghalang daripada kemalangan berlaku.

Namun jika masih berlaku kemalangan setelah langkah keselamatan di ambil oleh pihak sekolah dan di mana ia diluar bidangkuasa dan capaian pihak guru dan pihak sekolah, pihak sekolah tidak akan dipertanggungjawabkan.

Semoga siasatan ke atas kes terbaru ini dapat dijalankan dengan lancar demi membela nasib kanak-kanak malang berusia 14 tahun tersebut yang maut akibat terkena bilah mesin rumput semasa bermain di padang permainannya hari ini.

Sumber: FB Jumpa Kat Mahkamah


Google+ Followers