Friday, 5 January 2018

Program Dual Language Programme (DLP) diteruskan di 1,303 sekolah

Objektif pelaksanaan DLP adalah untuk menyokong
penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris
murid dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.
PUTRAJAYA: Sejumlah 1,303 buah sekolah akan melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) tahun ini, kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini.

KPM dalam satu kenyataan berkata pihaknya akan meneruskan program DLP di 1,215 sekolah sedia ada dan telah memberi kelulusan kepada 88 buah sekolah baharu bagi pelaksanaan program berkenaan pada 2018.

Menurut kementerian itu, surat pekeliling Ikhtisas dan Garis Panduan Pelaksanaan DLP Tahun 2018 akan dikeluarkan pada minggu pertama Januari 2018.

“Semua 1,215 buah sekolah akan meneruskan program ini bagi kelas sedia ada dan boleh membuat pembukaan kelas baharu bagi Tahun 1 dan Tingkatan 1 sahaja, manakala bagi 88 buah sekolah baharu pula, pembukaan kelas baharu adalah bagi Tahun 1 dan Tingkatan 1 sahaja,” kata KPM.

loading...
Menurut kenyataan itu, pembukaan kelas yang melaksanakan DLP bermula Ahad ini (7 Januari) bagi sekolah di Kedah, Terengganu, Kelantan dan Johor, manakala bagi negeri lain, pembukaan kelas yang melaksanakan program berkenaan bermula Isnin (8 Januari).

DLP memberi pilihan kepada sekolah yang menyertainya untuk mengadakan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris, selain Bahasa Melayu bagi mata pelajaran Matematik dan Sains.

KPM berkata pihak sekolah telah diminta membuat persediaan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya pada peringkat sekolah masing-masing.

Objektif pelaksanaan DLP adalah untuk menyokong penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris murid dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, katanya.

“Ia juga memberi peluang kepada murid meningkatkan akses penerokaan pelbagai bidang ilmu untuk bersaing di peringkat global serta meningkatkan kebolehpasaran murid dalam alam pekerjaan,” kata kenyataan itu.

Google+ Followers