Friday, 12 January 2018

Perlu lebih masa untuk penerbit tempatan keluarkan buku selaras CEFR - MELTA

Tags

Gambar hiasan via http://psspermaiindah.blogspot.my
GOMBAK: Tindakan menyelaraskan pendidikan Bahasa Inggeris tempatan dengan piawaian The Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) secara tergesa-gesa dilihat menjadi penyebab utama pelajar sekolah Tahun Satu dan Tingkatan Satu terpaksa menggunakan buku teks import.

Presiden Persatuan Guru Bahasa Inggeris Malaysia (MELTA), Prof Dr Gunakumaran Subramaniam berkata, tindakan itu menyebabkan penerbit tempatan tidak sempat untuk menerbitkan buku teks yang sesuai dengan keperluan piawaian berkenaan.

Katanya, tindakan itu juga seolah-olah cuba memadankan sukatan pelajaran sedia ada mengikut buku teks berkenaan.

"Persoalannya ialah, kenapa kita perlu tergesa-gesa sampai kita kena guna buku teks asing yang ada banyak masalah dia. Antaranya ialah masalah budaya, penggunaan bahasa, penggambaran kehidupan seharian di Malaysia tiada dalam buku tersebut.

"Tetapi, kalau nak katakan buku teks sedia ada tak sesuai, tidak benar kerana mungkin ia tidak selaras dengan piawaian CEFR yang kementerian cuba terapkan.

"Mungkin jika masa diberi cukup untuk penerbit tempatan, mereka akan hasilkan buku teks yang selaras dengan piawaian CEFR," katanya ketika ditemui Astro AWANI selepas menjadi panel untuk sesi perbincangan meja bulat anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Namun demikian, bagi Pensyarah Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya, Prof Dr Zuraidah Mohd Don, keputusan menyelaras pembelajaran Bahasa Inggeris dengan CEFR bukanlah tergesa-gesa tetapi usaha ini harus cepat dengan kepesatan ilmu dan teknologi semasa.

"Perkara paling penting bagi kita ialah pelajar mampu berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dan ia perlu berasaskan kepada sistem sedia ada yang terbaik.

"Usaha membangunkan piawaian CEFR bukan mudah, ia ambil masa lebih 30 tahun.

"Jadi, kenapa perlu kita bangunkan piawaian sama yang semestinya perlu mengambil tempoh yang lebih lama?

"Lebih baik kita gunakan piawaian ini dan di sepanjang proses sama, kita juga bangunkan mengikut kesesuaian di negara ini," katanya kepada Astro AWANI.
loading...
Berdasarkan pekeliling bertarikh 16 Ogos 2017 dan 12 Sept 2017, semua pelajar Tahun Satu dan Tahun Dua akan menggunakan buku 'Super Mind' manakala pelajar Tingakatan Satu dan Dua menggunakan buku 'Pulse 2' sebagai buku teks Bahasa Inggeris bermula 2018.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) tidak melihat penggunaan buku teks Bahasa Inggeris dari luar sebagai satu masalah.

"Perkara yang nak diajar adalah bahasa. Kalau anak-anak kita mendapat pendedahan kepada cara-cara Bahasa Inggeris digunakan di mana-mana sahaja di dunia ini, tidakkah itu lebih baik?" tegas Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock pada satu sidang media di ibu pejabat NUTP di Kuala Lumpur, hari ini.

NUTP melihat ada buku dari luar negara yang modulnya mudah untuk pembelajaran dan pemahaman pelajar, maka tiada isu sekiranya ia diguna pakai sebagai buku teks di sekolah.

Ditanya tentang seandainya penggunaan buku teks import akan melibatkan kos yang tinggi, Tan menjawab, "Kita tak fikir tentang itu. Yang penting ia baik atau tidak untuk anak-anak kita. We are teachers, kami menjana keilmuan."

Sumber: Astro Awani


Google+ Followers