Friday, 5 January 2018

Panduan Pelepasan Cukai 2017 Untuk e-Filing 2018


Jika disemak di laman web Lembaga Hasil Dalam negeri (LHDN), nampaknya senarai pelepasan cukai pendapatan 2017 untuk e-filing 2018 dah dikeluarkan.

Laman blog Jom Urus Duit telah menulis beberapa penjelasan berkenaan huraian setiap pelepasan yang telah disenaraikan.

Jom kita lihat senarai pelepasan cukai pendapatan 2017 untuk e-filing 2018 yang disiarkan di laman web LHDN:
Bil.
Jenis Potongan Individu
Amaun
(RM)
1
Individu dan saudara tanggungan
9,000
2
Perbelanjaan rawatan perubatan,keperluan khas dan penjaga ibu bapa ( Keadaan kesihatan disahkan oleh pengamal perubatan)
ATAU
Ibu dan Bapa
Terhad 1,500 bagi hanya seorang ibu
Terhad 1,500 bagi hanya seorang bapa
5,000 (Terhad)

ATAU
3000 (Terhad)
3
Peralatan Sokongan Asas (untuk individu kurang upaya, suami/isteri, anak atau ibubapa yang kurang upaya)
6,000 (Terhad)
4
Individu Kurang Upaya
6,000
5
Yuran Pendidikan (Sendiri) :
(i) Peringkat selain Sarjana dan Doktor Falsafah - bidang undang-undang, perakaunan, kewangan Islam, teknikal, vokasional, industri, saintifik atau teknologi;
(ii) Peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah - sebarang bidang atau kursus pengajian
7,000 (Terhad)
6
Perbelanjaan perubatan penyakit yang sukar diubati (individu atau suami/isteri atau anak-anak)
6,000 (Terhad)
7
Pemeriksaan perubatan penuh (Diri sendiri, suami / isteri atau anak)
500 (Terhad)
8
Gaya Hidup :
(i) Pembelian buku, jurnal, majalah, suratkhabar bercetak dan penerbitan (selain bahan bacaan terlarang) untuk diri sendiri, suami / isteri atau anak;
(ii) Pembelian komputer peribadi, telefon pintar atau tablet untuk diri sendiri, suami / isteri atau anak;
(iii) Pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997 (tidak terpakai bagi jenis basikal bermotor) dan bayaran keahlian gimnasium untuk diri sendiri, suami / isteri atau anak; dan
(iv) Bayaran langganan internet
2,500
(Terhad)
9
Pembelian peralatan penyusuan
1,000 (Terhad)
10
Yuran penghantaran anak ke Pusat Asuhan Kanak-Kanak atau Pra-sekolah
1,000 (Terhad)

11
Tabungan bersih dalam skim SSPN (Jumlah simpanan dalam tahun 2017 TOLAK jumlah pengeluaran dalam tahun 2017)
6,000 (Terhad)
12
Faedah pembelian rumah. Potongan cukai terhad kepada RM10,000 setiap tahun asas bagi 3 tahun taksiran berturut-turut bermula dari tarikh faedah mula dibayar.
Syarat kelayakan:
(i) pemastautin warganegara Malaysia;
(ii) pembelian rumah kediaman terhad kepada satu unit sahaja;
(iii) perjanjian jual beli ditandatangani dalam tempoh 10 Mac 2009 sehingga 31 Disember 2010; dan
(iv) rumah kediaman tersebut tidak disewakan.
Di mana:
(a) 2 atau lebih individu layak menuntut potongan bagi sebuah rumah kediaman; dan
(b) jumlah faedah yang dibelanjakan oleh kesemua individu berkenaan melebihi amaun yang dibenarkan dalam tahun itu. Setiap individu dibenarkan suatu potongan bagi setiap tahun mengikut formula berikut:
A x B
C
Di mana;
A = jumlah faedah dibenarkan dalam tahun berkenaan;
B = jumlah faedah dibelanjakan oleh individu berkenaan dalam tahun berkenaan;
C = jumlah faedah dibelanjakan oleh kesemua individu
10,000
(Terhad)
13
Suami/Isteri/Bayaran alimoni kepada bekas isteri
4,000 (Terhad)
14
Suami/Isteri kurang upaya
3,500
15
Anak di bawah umur 18 tahun
2,000
16
Anak yang belum berkahwin dan berumur 18 tahun dan ke atas dan menerima pendidikan sepenuh masa (peringkat A-Level, sijil, matrikulasi, persediaan atau pra-ijazah)
2,000
17
Anak yang belum berkahwin dan berumur 18 tahun dan ke atas tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
(i) mengikuti kursus di peringkat diploma dan ke atas di institusi pengajian tinggi dalam Malaysia (tidak termasuk kursus matrikulasi/pra-ijazah).
(ii) mengikuti kursus di peringkat ijazah dan ke atas di institusi pengajian tinggi luar Malaysia.
(iii) kursus dan institusi pengajian tinggi diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan.

8,000
18
Anak Kurang upaya
6,000
Pelepasan tambahan sebanyak RM8,000 bagi anak kurang upaya berumur 18 tahun dan ke atas, belum berkahwin dan mengikuti diploma ke atas di dalam Malaysia @ peringkat ijazah ke atas di luar Malaysia dalam kursus dan di IPT yang diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan.
19
Insuran nyawa dan KWSP TERMASUK tidak melalui potongan gaji
6,000 (Terhad)

20
Skim Persaraan Swasta dan Anuiti Tertunda (Deferred Annuity) - berkuatkuasa mulai Tahun Taksiran 2012 hingga tahun taksiran 2021.
3,000 (Terhad)
21
Insurans pendidikan dan perubatan TERMASUK tidak melalui potongan gaji
3,000 (Terhad)
22
Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
250 (Terhad)

loading...
Jika dilihat, terdapat 22 kategori pelepasan cukai pendapatan 2017 yang disenaraikan di atas.

Daripada 22 kategori ini, ada yang dikekalkan daripada tahun-tahun terdahulu, dan ada juga yang baru ditambah.

Jom kita perhalusi satu per satu senarai pelepasan cukai pendapatan di atas:

Pelepasan cukai #1 – Individu dan saudara tanggungan

Masih sama seperti tahun-tahun sebelumnya, pelepasan diri sebanyak RM 9,000 untuk diri-sendiri dan saudara tanggungan diberikan secara automatik apabila mengisi e-filing nanti.

Pelepasan cukai #2 – Penjagaan ibu bapa

Pelepasan ini masih mengekalkan syarat yang sama seperti pada tahun 2016.

Bagi penjagaan ibu bapa yang memerlukan rawatan perubatan, keperluan khas atau khidmat penjagaan khas, pelepasan yang diberikan berjumlah RM 5,000

Syarat-syarat yang perlu dipatuhi adalah:
  • Keadaan kesihatan ibu bapa disahkan oleh pengamal perubatan berkelayakan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (Malaysian Medical Council, MMC)
  • Ibu bapa mestilah bermaustatin di Malaysia
  • Rawatan perubatan dan khidmat penjaga yang diambil disediakan di dalam Malaysia
  • Bagi penjagaan ibu bapa yang sihat, yang tidak memerlukan rawatan perubatan, keperluan khas atau khidmat penjagaan khas, pelepasan yang diberikan adalah sebanyak RM 3,000 bagi kedua-dua ibu bapa atau RM 1,500 bagi ibu atau bapa.
Syarat-syarat yang perlu dipatuhi bagi layak menuntuk pelepasan ini adalah:
  • Anak kandung atau anak angkat yang sah di bawah undang-undang sahaja layak membuat tuntutan
  • Tuntutan ke atas ibu bapa tiri adalah tidak dibenarkan
  • Tidak membuat tuntutan bagi ibu bapa yang memerlukan rawatan perubatan, keperluan khas dan khidmat penjagaan
  • Jika lebih daripada seorang anak membuat tuntutan, amaun tuntutan perlu dibahagi sama rata mengikut bilangan individu yang menuntut
  • Ibu dan/atau bapa berusia 60 tahun atau ke atas dalam tahun taksiran, dan bermaustatin di Malaysia
  • Pendapatan ibu atau bapa tidak melebihi RM 24,000 setahun seorang pada tahun taksiran

Pelepasan cukai #3 – Peralatan sokongan khas

Bagi pembelian peralatan sokongan khas bagi individu kelainan upaya (OKU) sama ada untuk diri-sendiri, pasangan (suami/isteri), anak-anak atau ibu bapa, boleh menuntut pelepasan cukai pendapatan sehingga RM 6,000

Pelepasan cukai #4 – Individu kelainan upaya (OKU)

Bagi golongan OKU, selain dapat membuat tuntutan pelepasan individu seperti yang dinyatakan di atas, mereka juga boleh menuntut pelepasan OKU sebanyak RM 6,000

Pelepasan cukai #5 – Yuran pengajian sendiri

Bagi individu yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tertiari (Diploma dan Ijazah Sarjana Muda) dan lanjutan (Sarjana dan Doktor Falsafah), layak menuntut pelepasan cukai sehingga RM 7,000 bagi bayaran yuran penganjian tahunan

Antara syarat-syarat yang perlu dipatuhi adalah:
  • Pengajian di institusi atau badan profesional di Malaysia yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia, atau diluluskan oleh Menteri Kewangan
  • Kursus pengajian peringkat tertiari: Bidang undang-undang, perakaunan, kewangan Islam, teknikal, vokasional, industri, saintifik atau teknologi
  • Kursus pengajian peringkat lanjutan: Sebarang bidang atau kursus pengajian
  • Tidak mendapat apa-apa tajaan daripada mana-mana pihak atau skim biasiswa
Pelepasan cukai #6 – Perbelanjaan perubatan penyakit yang sukar diubati

Jika ada mengeluarkan perbelanjaan bagi rawatan perubatan penyakit-penyakit yang sukar diubati, sama ada bagi rawatan untuk diri-sendiri, pasangan (suami/isteri) atau anak-anak, layak membuat tuntutan sehingga RM 6,000

Penyakit-penyakit yang terlibat adalah sindrom kurang daya tahan (AIDS), Parkinson, barah, penyakit buah pinggan, leukemia, sakit jantung, darah tinggi oulmonari, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepada dengan defisit neurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ, serta pemotongan kaki dan/atau tangan.

Pelepasan cukai #7 – Pemeriksaan perubatan

Bagi pemeriksaan perubatan menyeluruh yang dilakukan untuk diri-sendiri, pasangan atau anak-anak, pelepasan sebanyak RM 500 adalah dibenarkan.

Namun begitu, jumlah tuntutan bagi pelepasan #6 dan #7 adalah terhad sehingga RM 6,000 sahaja.

Pelepasan cukai #8 – Perbelanjaan gaya hidup

Ini adalah kategori baru yang diperkenalkan untuk tahun taksiran 2017, sepertimana yang dibentangkan dalam Bajet 2017 dahulu.

Kategori ini diperkenalkan untuk membantu orang ramai meringankan kos sara hidup masing-masing.

Antara perbelanjaan-perbelanjaan yang dibenarkan dalam kategori ini adalah:
  • Pembelian buku, jurnal, majalah, suratkhabar bercetak dan penerbitan (selain bahan bacaan terlarang) untuk diri sendiri, pasangan (suami/isteri) atau anak-anak
  • Pembelian komputer peribadi, telefon pintar atau tablet untuk diri sendiri, pasangan atau anak-anak
  • Pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997 (tidak terpakai bagi jenis basikal bermotor) (boleh lihat senarai lengkap aktiviti-aktiviti sukan yang dibenarkan dengan muat turun di sini www.kbs.gov.my/my/akta-pekeliling/akta.html)
  • Bayaran keahlian gimnasium untuk diri sendiri, pasangan atau anak-anak
  • Bayaran langganan internet
  • Jumlah pelepasan yang dibenarkan adalah sehingga RM 2,500 bagi semua perbelanjaan di atas.

Pelepasan cukai #9 – Pembelian peralatan penyusuan

Bagi menghargai jasa golongan wanita (ibu) dan menggalakkan penyusuan badan, kategori ini diperkenalkan ke dalam senarai pelepasan cukai pendapatan 2017.

Bagi pembelian peralatan penyusuan, pelepasan sehingga RM 1,000 adalah diberikan.

Pelepasan cukai #10 – Yuran Pusat Asuhan Kanak-Kanak atau Pra-sekolah

Ini juga adalah kategori baru yang diperkenalkan untuk meringankan beban ibu bapa yang menghantar anak-anak ke Pusat Asuhan Kanak-kanak atau Pra-sekolah.

Pelepasan sehingga RM 1,000 adalah diberikan untuk kategori ini.

Pelepasan cukai #11 – Tabungan bersih dalam skim Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)

Bagi yang membuat tabungan dalam SSPN, sama ada akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus, boleh menuntut pelepasan cukai sehingga RM 6,000

Pelepasan ini dikira berdasarkan jumlah tabungan bersih, iaitu jumlah simpanan sepanjang 2017 tolak jumlah pengeluaran sepanjang 2017 (tabungan bersih = jumlah simpanan – jumlah pengeluaran)

Pelepasan cukai #12 – Faedah pembelian rumah

Pelepasan cukai pendapatan bagi faedah pembelian rumah adalah terhad kepada RM10,000 setiap tahun asas bagi 3 tahun taksiran berturut-turut bermula dari tarikh faedah mula dibayar.

Pelepasan ini bukan untuk semua pembeli rumah.

Untuk syarat-syarat kelayakan dan formula pengiraan, boleh rujuk dalam gambar di atas.

Pelepasan cukai #13 – Bayaran kepada pasangan / bayaran alimoni kepada bekas isteri

Jika si isteri tidak mempunyai punca pendapatan/jumlah pendapatan, maka si suami boleh menuntut pelepasan isteri sebanyak RM 4,000

Begitu juga jika si suami tidak mempunyai punca pendapatan/jumlah pendapatan, maka si isteri juga boleh menuntut pelepasan suami sebanyak RM 4,000

Pelepasan ini juga boleh dituntut oleh suami atau isteri jika memilih taksiran bersama, dengan jumlah pelepasan sebanyak RM 4,000

Jika ada membuat bayaran nafkah/alimoni kepada bekas isteri, juga layak menuntut pelepasan ini sehingga RM 4,000

Walaubagaimanapun, bayaran nafkah/alimoni secara sukarela kepada bekas isteri di bawah perjanjian bersama tanpa sebarang perjanjian rasmi tidak layak dituntut sebagai pelepasan cukai.

Pelepasan cukai #14 – Pasangan orang kelainan upaya (OKU)

Pelepasan tambahan sebanyak RM 3,500 boleh dituntut jika mempunyai pasangan (suami/isteri) OKU.

Pelepasan cukai #15 – Anak di bawah umur 18 tahun

Jika mempunyai anak/anak-anak di bawah umur 18 tahun yang belum berkahwin, maka layak menuntut pelepasan cukai sebanyak RM 2,000 bagi seorang anak.

Pelepasan cukai #16 &  #17 – Anak berumur 18 tahun ke atas

Jika mempunyai anak/anak-anak berumur 18 tahun ke atas, belum berkahwin dan menerima pendidikan sepenuh masa (peringkat A-Level, sijil, matrikulasi, persediaan atau pra-ijazah), maka layak menuntut pelepasan cukai sebanyak RM 2,000 seorang.

Jika mempunyai anak/anak-anak berumur 18 tahun ke atas, belum berkahwin dan memenuhi syarat-syarat yang berikut:
  • mengikuti kursus di peringkat diploma dan ke atas di institusi pengajian tinggi dalam Malaysia (tidak termasuk kursus matrikulasi/pra-ijazah)
  • mengikuti kursus di peringkat ijazah dan ke atas di institusi pengajian tinggi luar Malaysia
  • kursus dan institusi pengajian tinggi diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan
  • maka, layak menuntut pelepasan cukai sebanyak RM 8,000 setiap orang anak.

Pelepasan cukai # 18 – Anak orang kelainan upaya (OKU)

Jika mempunyai/menjaga anak/anak-anak OKU (sebarang umur), maka boleh menuntut pelepasan sebanyak RM 6,000 bagi setiap orang anak OKU.

Pelepasan tambahan sebanyak RM8,000 seorang diberikan jika mempunyai/menjaga bagi anak/anak-anak OKU berumur 18 tahun dan ke atas, belum berkahwin dan mengikuti diploma ke atas di dalam Malaysia @ peringkat ijazah ke atas di luar Malaysia dalam kursus dan di IPT yang diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan.

Nota tambahan untuk pelepasan cukai #15, #16, #17 & #18

Semasa isi e-filing untuk kesemua pelepasan cukai di atas, ambil perhatian akan 3 perkara berikut:
  • Bilangan – Isikan jumlah bilangan anak yang layak dituntut pelepasan sepenuhnya (Kelayakan 100%) atau sebahagiannya (Kelayakan 50%) oleh individu.
  • Kelayakan 100% – Ruang ini untuk diisi oleh individu yang layak menuntut pelepasan anak sepenuhnya.
  • Kelayakan 50% – Ruang ini hanya berkenaan jika dua atau lebih individu (bukan suami isteri yang tinggal bersama) layak menuntut potongan berhubung bayaran yang dibuat ke atas anak yang sama, dan setiap individu tersebut layak menuntut 50% daripada pelepasan yang dibenarkan sebagai potongan. Contohnya apabila berlaku perceraian dan terdapat dua atau lebih individu yang layak menuntut potongan ke atas anak yang sama.
  • Taksiran Berasingan – Individu dan suami / isteri perlu memilih pelepasan ke atas setiap anak yang ingin dituntut masing-masing. Contohnya, Abu dan Siti mempunyai 5 orang anak, maka tuntutan yang boleh dibuat sama ada Abu 5, Siti 0; Abu 4, Siti 1; Abu 3, Siti 2; Abu 2, Siti 3; Abu 1, Siti 4 atau Abu 0, Siti 5.

Pelepasan cukai #19 – Insurans/takaful nyawa & KWSP

Bagi yang melanggan pelan perlindungan insurans/takaful nyawa yang melindungi individu, isteri atau suami (tidak termasuk anak-anak), serta mencarum dalam skim KWSP atau kumpulan wang lain yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (bahagian caruman sendiri), sama ada melalui potongan gaji atau bayaran sendiri, maka layak menuntut pelepasan cukai pendapatan sehingga RM 6,000 maksimum.

Contohnya, anda mencarum pelan takaful nayawa RM 2,400 setahun dan KWSP RM 6,000 setahun, maka pelepasan yang layak dituntut adalah RM 6,000 sahaja.

Pelepasan cukai #20 – Skim Persaraan Swasta, SPS (Private Retirement Scheme, PRS) atau Anuiti Tertunda (Deferred Annuity)

Pelepasan ini khas untuk mereka yang menyertai atau menambah simpanan ke dalam skim PRS yang diluluskan Suruhanjaya Sekuriti atau mencarum dalam skim anuiti tertangguh.

Jumlah pelepasan yang layak dituntut adalah sehingga RM 3,000 maksimum.

Pelepasan cukai #21 – Insurans/takaful pendidikan dan perubatan

Pelepasan sehingga RM 3,000 diberikan jika ada mencarum atau melanggan skim insurans/takaful pendidikan dan perubatan, sama ada untuk diri-sendiri, pasangan dan juga anak-anak.

Pelepasan diberikan kepada caruman melalui potongan gaji, atau pun bayar sendiri tanpa melalui potongan gaji.

Insurans/takaful kesihatan termasuklah manfaat yang melindungi risiko akibat penyakit kritikal dan juga kad perubatan (manfaat bayaran caj rawatan dan hospital)

Pelepasan cukai #22 – Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Pelepasan tidak melebihi RM250 dibenarkan bagi sumbangan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dibuat atau ditanggung oleh individu.

Pelepasan cukai pendapatan yang digugurkan

Kita dah pun meneliti satu per satu senarai pelepasan cukai pendapatan 2017 yang akan digunakan apabila mengisi e-filing bermula Mac 2018 nanti.

Sekarang, jom kita lihat pelepasan cukai pendapatan 2016 yang digugurkan daripada senarai 2017 di atas:
  • Pembelian buku, majalah, jurnal dan penerbitan – RM 1,000
  • Pembelian komputer peribadi untuk individu (sekali setiap 3 tahun) – RM 3,000
  • Pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan – RM 300
  • Ketiga-tiga pelepasan ini tidaklah digugurkan sepenuhnya, sebaliknya disatukan di bawah satu kategori, iaitu pelepasan cukai #8 perbelanjaan gaya hidup.
Malah, ditambah baik dengan membenarkan tuntutan pelepasan bagi langganan akhbar, pembelian telefon pintar atau tablet, bayaran keahlian gimnasium dan langganan internet.

Penutup

Selain derma, hadiah dan rebat cukai, pelepasan cukai pendapatan juga adalah penting untuk mengurangkan jumlah cukai pendapatan yang dikenakan.

Untuk layak mendapat pelepasan cukai yang disenaraikan, perlulah melakukan perbelanjaan-perbelanjaan berkaitan pada tahun taksiran cukai tersebut.

Sebagai contoh, bagi tahun taksiran 2017, perbelanjaan-perbelanjaan tersebut hendaklah dilakukan pada tahun 2017.

Pengisian e-filing pula akan dilakukan pada tahun 2018, kebiasaannya bermula 01 Mac setiap tahun.

Di samping itu, dokumen-dokumen berkaitan seperti resit dan penyata hendaklah dikumpul dan disimpan dengan baik untuk memudahkan rujukan dan juga pengauditan jika diminta oleh pihak LHDN.

Itu sahaja perkongsian kali ini berkenaan senarai pelepasan cukai pendapatan 2017 untuk e-filing 2018.

Semoga bermanfaat untuk semua dan dapat membantu ketika mengisi e-filing nanti.

Sumber artikel: Jom Urus Duit


Google+ Followers