Monday, 22 January 2018

Guru boleh berpolitik tapi bersyarat - SPA

KUCHING: Guru-guru daripada Gred 41 hingga Gred 48 dibenarkan untuk berkecimpung dalam bidang politik berdasarkan panduan yang dikeluarkan dalam pekeliling bilangan 2010, namun mereka terlebih dahulu perlu mendapat kebenaran daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman.

Beliau berkata kebenaran yang diberikan itu juga disertai dengan syarat tertentu kerana pihak kementerian tidak mahu mana-mana pegawai pendidikan yang memegang jawatan pentadbiran terlibat memegang jawatan politik, kerana ada perbezaan ketara antara dua tugas itu.

“Kita tidak mahu apa-apa kaedah di pentadbiran itu dijadikan bahan-bahan politik yang boleh mewujudkan “contradiction” ataupun pencanggahan dari segi kepentingan antara tugas-tugas dalam hal politik,” katanya dalam satu persidangan media di penghujung Majlis Wacana Jelajah Transformasi Nasional 50 (TN50) Anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama Petra Jaya, hari ini.
loading...
Katanya dalam apa-apa kaedah dan panduan yang ditetapkan, adalah menjadi satu kelaziman ia dilengkapi dengan peraturan, yang mana sesiapa yang melanggar peraturan ini boleh dikenakan tindakan sebagai langkah kawalan.

Baca juga: Proses Permohonan Untuk Berpolitik Bagi Guru

Sementara itu, Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda yang turut serta dalam persidangan media itu berkata berdasarkan liberalisasi kerajaan sebelum ini, penjawat awam memang dibenarkan berpolitik, asalkan tidak melanggar tatatertib dan etika.

“Sebagai penjawat awam, semua memang sudah sedia maklum mereka terikat dengan Akta Rahsia Rasmi, dan jika hendak berpolitik atau memimpin negara – tiada masalah, asalkan mendapat kelulusan,” katanya.

Terdahulu semasa menjawab satu soalan berkaitan gaji penjawat awam dalam sesi wacana hari ini Zainal Rahim berkata sebarang rancangan kenaikan gaji perlulah dibuat seiring dengan kenaikan produktiviti pekerja, yang merupakan modal insan dalam menentukan keuntungan dalam sesebuah organisasi.

Beliau berkata ia adalah beberapa perkara yang perlu diperhalusi kerajaan sebelum sebarang ketetapan dibuat berhubung kenaikan gaji penjawat awam.

“Seterusnya (yang perlu dikaji) adalah dari segi ekonomi, kesan kepada peniaga. Apabila berlaku kenaikan gaji, para peniaga akan mengambil peluang untuk menaikkan harga barangan,” katanya.

TN50 digagaskan Perdana Menteri Najib Tun Razak, merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara dalam tempoh 30 tahun selepas 2020.

Sumber: Free Malaysia Today


Google+ Followers