Bimbang guru digelar gila

08:09:00
ALOR SETAR - Kes guru bermasalah atau guru mental seperti dilaporkan media baru-baru ini bukan kes terpencil dan tidak hanya melibatkan guru malah individu pelbagai profesion turut terdedah kepada fenomena sama.

Pakar Perunding Psikiatri & Psikologi, Kedah Medical Centre (KMC), Dr Wan Mohd Rushidi Wan Mahmud berkata, bagaimanapun, kes seumpama itu hanya mendapat perhatian apabila sudah di tahap serius atau menimbulkan bahaya kepada individu itu termasuk orang ramai.

“Kes seperti itu sewajarnya ditangani di peringkat awal dan secara dalaman sebelum nasi menjadi bubur. Agak sedih kerana setelah tular di media sosial, guru berkenaan baru diberikan bantuan,” katanya.

loading...
Pada 25 Januari lalu, tular sebuah video berdurasi 3.52 minit menunjukkan seorang guru wanita mengamuk dalam bilik mesyuarat sebuah sekolah, dengan memekik, meludah dan menghentak meja.

“Mereka yang mengalami masalah jiwa perlukan bantuan, sokongan dan pembelaan. Bukannya dicerca dan dihukum. Mungkin apa yang berlaku kepada guru berkenaan ada hikmahnya. Diharap ia membawa perubahan positif kepada semua warga pendidik,” katanya.

Dr Wan Mohd Rushidi berkata, masyarakat di negara ini kurang menitik beratkan kesihatan mental berbanding kesihatan fizikal.

“Pemeriksaan ketika masuk kerja contohnya, hanya pemeriksaan fizikal. Tiada aspek pemeriksaan mental. Sekarang yang ada pemeriksaan mental untuk warga asing,” katanya.

Menurutnya, tidak dinafikan hidup dalam dunia serba moden dan mencabar, menyebabkan stres menjadi sebahagian daripada hidup.

“Setiap orang tidak terkecuali, antara sumber stres adalah rumah tangga (suami, isteri, anak-anak, keluarga), kewangan dan bebanan hidup, bebanan kerja, masalah pelajar, kerenah ibu bapa, tekanan daripada pihak atasan,” katanya.

Namun ramai daripada kita tidak pernah diajar secara formal bagaimana untuk menangani stres.

“Apabila stres gagal diurus, berisiko untuk mengalami pelbagai masalah mental dan fizikal. Masalah fizikal yang dialami (sakit jantung, asma, diabetes), namun kita cepat bertindak. Malangnya jika yang dialami adalah masalah mental, ramai enggan menolong dan tidak prihatin dengan tanda-tanda awal, seperti mudah marah, resah, prestasi merudum, murung, bercakap seorang diri, memencilkan diri, perubahan tingkah laku ketara,” katanya.

Dr Wan Mohd Rushidi berkata, akhirnya individu itu dianggap sebagai pekerja bermasalah dan dibalas dengan hukuman, tindakan tata tertib dan bukannya bantuan.

“Masyarakat juga sering kaitkan masalah jiwa dengan buatan orang atau sampuk. Bomoh, pengamal perubatan tradisional sering menjadi pilihan atau mendapatkan rawatan melalui makanan tambahan yang kononnya boleh menyembuhkan penyakit,” katanya.

Menurutnya, rujukan kepada pakar jiwa kebiasaannya menjadi pilihan terakhir kerana malu dan bimbang dianggap gila.

Bukan kategori penyakit kritikal

Dr Wan Mohd Rushidi berkata, pilihan untuk mendapat rawatan di hospital swasta sering menjadi masalah terutama dari aspek kos.

“Walaupun kos rawatan jiwa tidak seberapa berbanding pembedahan, ia tidak ditanggung oleh mana-mana syarikat insurans di Malaysia. Alasannya, masalah jiwa atau psikologi tidak termasuk dalam kategori penyakit kritikal,” katanya.

Menurutnya, syarikat insurans untuk kakitangan kerajaan seperti Cuepacs Care juga tidak menanggung kos bagi kes-kes berkenaan.

“Pilihan yang ada hanya pakar jiwa di hospital kerajaan. Mungkin bagi kes yang melibatkan penyakit jiwa kronik, psikotik seperti skizofrenia (di mana pesakit bertindak agresif, mengalami halusinasi, delusi), individu dan keluarga lebih terbuka untuk menerima rawatan atau mungkin kerana terpaksa,” katanya.

Beliau berkata, kes penyakit jiwa jenis neurotik, seperti kemurungan, kerisauan, was-was, stres di tempat kerja dan sebagainya; ramai kalangan mereka enggan mendapatkan rujukan.

Laporan Sinar Harian 26 Januari lalu.
“Punca utama adalah stigma yang begitu menebal. Malu untuk dirawat atau duduk bersama mereka yang mengalami masalah jiwa kronik. Sebut saja wad atau klinik psikiatri, secara automatik mereka akan menolak untuk dirujuk. Apatah lagi guru, profesion yang dipandang tinggi masyarakat,” katanya.

Tambahnya, akhirnya hanya apabila sudah kritikal dan hingga ke peringkat mengundang bahaya kepada diri sendiri (risiko bunuh atau cederakan diri sendiri) atau orang lain, barulah dirujuk.

“Saranan Menteri Pendidikan untuk warga pendidik menjalani pemeriksaan secara berkala, adalah idea yang baik, cuma perlu tambah elemen pemeriksaan mental oleh mereka yang berkelayakan, terutama pakar psikiatri dan psikologi,” katanya.

Menurutnya, kesedaran mengenai penyakit mental dan kesihatan mental harus diterapkan kalangan warga pendidik.

“Mungkin ilmu diperoleh kelak bukan saja membantu guru-guru lebih peka kepada tanda-tanda awal masalah jiwa, malah boleh dikongsi dengan pelajar,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »