Sunday, 3 December 2017

'Sekolah kebangsaan bukannya sekolah agama'

PETALING JAYA: Golongan yang prihatin dengan isu pendidikan mengingatkan pengetua sekolah dan jabatan pendidikan negeri yang sekolah kebangsaan bukan sekolah Melayu mahupun sekolah agama.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, menjadi tanggungjawab pengetua dan guru besar untuk memastikan semangat kebangsaan dikekalkan di sekolah kebangsaan.

“Tetapi orang mungkin lupa. Ia memerlukan semangat kebangsaan. Ini kerana agama ada tempat dan masanya dalam kelas tertentu,” katanya kepada FMT.

Katanya, ibu bapa dengan anak yang berminat dengan agama boleh menghantar mereka ke sekolah agama atau tahfiz kerana sekolah berkenaan lebih khusus dan berkemahiran.

Beliau mengulas peraturan baharu yang diumumkan Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan Mohd Razali Mustafar Rabu lalu, di mana semua sekolah di daerah itu wajib mengadakan sembahyang berjemaah di sekolah sebelum pelajar pulang ke rumah.

Ini kerana, sembahyang antara pengisian utama pihaknya membina karektor warga sekolah, khususnya para murid, untuk mencegah perkara negatif mengharungi dunia kian mencabar, katanya.

Azimah, yang kerap bercakap mengenai isu pendidikan berkata, pengetua sekolah mesti pastikan pelajar bukan Islam tidak diketepikan atau berasa terasing di sekolah kebangsaan.

Galak bukan paksa

Azimah menegaskan amalan agama adalah perkara baik dan patut digalakkan sebanyak mungkin, tetapi ia juga boleh dilakukan tanpa perlu diwajibkan pihak sekolah.

Beliau menambah keluarga dan individu selalunya akan berdoa sebelum meninggalkan kediaman masing-masing memohon hari yang selamat dan diberkati.

Namun begitu, Azimah berpendapat amalan Islam itu bukan bertujuan untuk dipaksakan ke atas sesiapa.

Sementara itu, bekas guru Tan Ai Ming berkata, sekolah kebangsaan patut menyemarakkan semula semangat Rukun Negara, satu pengisytiharaan falsafah kebangsaan sebagai cara mengalakkan perpaduan dalam kalangan anak muda.

Jika ini tidak dilaksanakan dan keadaan semasa berterusan di sekolah kebangsaan, semakin ramai ibu bapa akan memilih untuk menghantar anak ke sekolah Cina, Tamil atau antarabangsa, katanya.

Bekas menteri gesa kaji
Saifuddin berkata, kadangkala niat pengetua sekolah dan Jabatan Pendidikan negeri adalah baik, tetapi pendekatan mereka salah.

Saifuddin berkata, kadangkala niat pengetua sekolah dan Jabatan Pendidikan negeri adalah baik, tetapi pendekatan mereka salah.

Sementara itu, bekas timbakan menteri pendidikan tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah meminta Jabatan Pendidikan Pahang segera menyiasat kesan peraturan itu kepada sekolah di Kuantan.

Beliau berkata, pihak jabatan harus mengkaji jika tindakan itu mendorong lebih ramai ibu bapa India, Cina dan sesetengah ibu bapa Melayu menghantar anak mereka ke sekolah lain.

Saifuddin berkata memang ada ibu bapa menghantar anak ke sekolah lain, dan menambah: “Mereka menganggap sekolah kebangsaan semakin menjadi seperti sekolah agama.”

Ketua setiausaha sekretariat Pakatan Harapan berkata, pendidikan Islam sudah disediakan untuk pelajar Islam, di mana “guru boleh berdoa sebanyak mungkin dalam kelas itu”.

Beliau berkata, kadangkala niat pengetua sekolah dan Jabatan Pendidikan negeri adalah baik tetapi menggunakan pendekatan salah.

“Masalahnya, kadangkala niat itu silap dilaksanakan,” katanya merujuk peraturan di Kuantan itu.

Pemimpin MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker sebelum ini memberitahu FMT sekolah kebangsaan berjaya menarik ramai murid bukan Melayu dan lebih baik jika fokus ditumpukan kepada pendidikan, bukannya agama sebagai tugas dan tanggungjawab utama sekolah.

FMT masih cuba menghubungi Razali untuk mengulas peraturan itu.

Sumber: FMT


loading...

Google+ Followers