Laksana segera Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga - NUTP

17:55:00
SEREMBAN - [VIDEO] Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendesak supaya Kementerian Pendidikan melaksanakan segera Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga bagi melindungi guru serta menjaga keharmonian hubungan kedua-dua pihak.

Presidennya, Kamarozaman Abd Razak berkata kod etika itu perlu dilaksanakan segara tanpa ditangguhkan lagi, untuk melindungi guru jika "diserang" oleh ibu bapa, seperti mana yang berlaku terhadap Cikgu Azizan.

Katanya, NUTP mahu jadikan kes Cikgu Azizan ini sebagai contoh, agar guru disiplin dapat menjalankan tugas dengan penuh berhemah, kerana jawatan mereka sebagai guru disiplin kini tidak lagi bermakna, seolah-olah tangan mereka telah diikat dari belakang

“NUTP sedang menyediakan cadangan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga untuk dijadikan sebagai panduan atau tatacara ibu bapa ketika berurusan dengan guru

loading...
“Kod etika itu juga nanti akan memastikan maruah dan emosi guru-guru tidak terjejas akibat tekanan berpunca daripada serangan ibu bapa yang tidak berpuas hati terhadap mereka.

“NUTP berharap masyarakat dapat memberi lebih perlindungan kepada guru-guru dalam menguruskan hal-hal disiplin dengan lebih berkesan,”katanya.

Tambahnya, NUTP juga mencadangkan agar semua guru-guru diberi latihan khusus untuk menangani masalah disiplin khususnya bagi kes yang berulang, kes berat atau kritikal.

Oleh itu, NUTP amat berharap warga pendidik di negara ini di beri ruang oleh masyarakat agar dapat mengekalkan keharmonian dalam mendisiplinkan murid di sekolah agar aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) dapat dicapai, sekaligus melahirkan insan yang berprestasi tinggi.

Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, menegaskan bahawa, NUTP tidak akan sesekali mempertahankan guru yang sengaja mendera dan mencederakan murid sehingga berlaku pendarahan atau kemudaratan.

Sokongan ibu bapa dan penjaga melalui PIBG terhadap guru dan sekolah mestilah secara sepenuhnya bagi membina keyakinan diri guru dalam mendidik anak bangsa tanpa ada pengaruh luar.

NUTP tahun lalu menyerahkan cadangan kod etika berkenaan kepada Kementerian Pendidikan untuk dilaksanakan tetapi sehingga sekarang badan itu mendakwa masih belum ada tindakan.

Kod etika itu antara lain memberi garis panduan kepada ibu bapa dan penjaga apabila masuk ke kawasan sekolah dan berurusan dengan guru dan pihak pentadbir sekolah.

Sumber: Sinar Harian


Share this

Related Posts

Previous
Next Post »