Friday, 8 December 2017

KPM fokus inisiatif pembangunan insan, nilai dan sahsiah murid tahun depan

Tags

Imej via Harian Metro
Putrajaya: Unit Prestasi dan Pelaksanaan Pendidikan (PADU) di bawah Kementerian Pendidikan akan memfokuskan kepada pelaksanaan inisiatif pembangunan insan, nilai dan sahsiah murid di seluruh negara tahun depan sebagai satu daripada usaha menangani masalah dan isu sosial dalam kalangan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Khadijah Abdullah berkata, pihaknya sudah berbincang lanjut mengenai pelaksanaan inisiatif berkenaan dengan beberapa bahagian di kementerian, badan bukan kerajaan (NGO) dan guru.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menganjurkan bengkel khusus akhir bulan ini membabitkan penyertaan guru, murid, NGO dan warga kementerian bagi membincangkan masalah serta isu sosial yang berlaku di sekolah buat masa ini termasuk kes buli dan gengsterisme.

“Hasil perbincangan di bengkel berkenaan akan dibentangkan kepada kementerian awal tahun depan termasuk rangkaian aktiviti berkaitan yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Kami tidak mahu murid berjaya dalam akademik saja sebaliknya mahu mereka mempunyai nilai dan sahsiah diri yang dikehendaki kementerian,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, inisiatif pembangunan insan, nilai dan sahsiah itu adalah sebahagian usaha kementerian untuk melihat kemenjadian murid secara keseluruhannya dan bukan hanya melahirkan murid cemerlang dari segi akademik semata-mata.

Dalam pada itu, Khadijah berkata, sebanyak 20 inisiatif utama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dilaksanakan sepanjang tahun ini termasuk Pelan Hala Tuju Pendidikan Bahasa Inggeris, Pemartaban Pendidikan Bahasa Melayu, Pembangunan Repositori Data Pendidikan dan Peluasan Penggunaan Dashboard, Program Transformasi Daerah, Peningkatan Akses Daripada Peringkat Prasekolah Hingga Menengah Atas dan Penyediaan Infrastruktur Asas di Semua Sekolah.

Dalam pada itu, Khadijah berkata, PPPM terus mendapat pengiktirafan dunia apabila meraih Anugerah Pengurusan Projek (APM) Mike Nichols untuk Inspirasi 2017 dalam satu majlis berprestij di United Kingdom November lalu.

Sumber: Harian Metro

loading...

Google+ Followers