KPM akan perhalusi cadangan NUTP

14:05:00
KEMENTERIAN Pendidikan akan memperhalusi cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang mahu Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga diperkenalkan dalam usaha melindungi profesion guru di negara ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan NUTP awal tahun hadapan dalam membincangkan mengenai cadangan kod etika berkenaan.

“Kita sentiasa bersedia menerima pandangan, cadangan dan idea untuk penambahbaikan kepada pemuafakatan guru dan ibu bapa kerana NUTP adalah rakan kongsi kepada kementerian dalam mengenengahkan pelbagai isu berbangkit membabitkan guru.

loading...
“Pelbagai pertemuan dan program sudah diadakan sejak sekian lama antara pihak kementerian dan NUTP dan saya mewakili kementerian, menyambut baik terhadap apa yang disuarakan oleh NUTP,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Melestarikan Modal Insan Koperasi 2017 Maktab Koperasi Malaysia di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, Padang Terap, hari ini

Tambahnya, pertemuan yang akan diadakan itu juga akan mencari penyelesaian bersama menerusi kod etika berkenaan sebelum ia dapat diperkenalkan dalam sistem persekolahan.

"Buat masa ini, cadangan itu belum lagi sampai ke peringkat kementerian dan ia akan dibincangkan dalam pertemuan itu.

“Kita mengharapkan suatu penyelesaian segera dapat dicapai bagi memastikan guru dapat menjalankan tugasnya dengan sempurna,” katanya.

Sebelum ini, Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak menyuarakan cadangan bahawa satu kod etika diwujudkan serta dijadikan panduan tatacara ibu bapa atau penjaga ketika berurusan dengan guru.

Mahdzir juga turut menepis dakwaan beberapa pihak bahawa pihak kementerian tidak langsung membantu dalam isu Cikgu Azizan dan berkata, beliau menyedari dan sentiasa mengambil tahu terhadap apa yang berlaku dikalangan guru disamping sentiasa menitik berat hal kebajikan mereka.

"Dakwaan mengatakan kementerian tidak masuk campur sebenarnya kurang tepat kerana di peringkat kementerian, pelbagai usaha dan perbincangan dibuat malah timbalan menteri saya sendiri ada bertemu dengan Cikgu Azizan. Ini jelas menunjukkan kami (kementerian) menyokong beliau.

"Maka isu kementerian tidak ambil tahu tidak timbul tetapi apabila ia sudah sudah ke peringkat mahkamah, kementerian hanya tunggu dan lihat kerana sebarang kenyataan yang dikeluarkan boleh menjadi kesalahan menghina mahkamah," katanya.

Terdahulu, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap merasmikan Lestari Modal Insan Koperasi 2017: Jom Kenali Koperasi anjuran Maktab Koperasi Malaysia Zon Utara dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia Wilayah Kota Setar/Padang Terap di IKBN Naka, Padang Terap hari ini yang dihadiri oleh 250 peserta dan wakil koperasi seluruh Zon Utara yang merangkumi Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

Kelmarin, Kamarozaman bersama kira-kira 200 guru hadir untuk memberi sokongan kepada Cikgu Azizan atau Azizan Manap, 44, yang sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan mencederakan seorang murid, April lalu.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman, bagaimanapun membuat keputusan melepas tanpa membebaskan Cikgu Azizan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad, memaklumkan pihak pendakwaan menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan di mahkamah sama Oktober lalu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Taman Semarak, Nilai itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri murid lelaki berusia 11 tahun, di hadapan tapak perhimpunan sekolahnya pada 7 pagi, 6 April lalu.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »