Keluarga pelajar akui tertekan dengan kes Cikgu Azizan

18:09:00
“SAYA belum bersedia,” demikian kata bapa kepada murid lelaki berusia 11 tahun yang didakwa menghadapi masalah disiplin sehingga menyebabkan Azizan Manap, 44, atau Cikgu Azizan diheret ke mahkamah.

Lelaki berusia 50 tahun itu yang ditemui di rumahnya di Nilai, hari ini, mendakwa menerima banyak tekanan daripada pelbagai pihak selepas kes berkenaan menjadi tular di Facebook (FB).

"Saya akan menjelaskan mengenai apa sebenar yang berlaku, esok. Sekarang ini kami sekeluarga menerima terlalu banyak tekanan," katanya yang enggan ditemubual lebih lanjut.

loading...
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Semarak Md Fakarudin Ab Rahman meminta orang ramai supaya tidak terus menyalahkan keluarga murid itu dan membuat spekulasi berhubung isu berkenaan.

“Bapa murid terbabit membuat laporan polis apabila diminta pihak hospital berbuat demikian selepas anaknya dibawa mendapatkan rawatan.

“Dia sebenarnya hanya mengikut prosedur undang-undang sehingga kes dibawa ke mahkamah. Bukan bapa murid itu yang menyaman Cikgu Azizan di mahkamah," katanya.

Md Fakarudin berkata, murid itu dan keluarga sewajarnya diberi peluang untuk meneruskan hidup dengan tenang dan masyarakat tidak terus menuding jari menyalahkan mereka.

Katanya, sebelum ini pihaknya sudah berusaha melakukan terbaik termasuk menyelesaikan kes di luar mahkamah, namun tetap bersyukur kes berkenaan sudah selesai.

Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, melepas tanpa membebaskan Azizan daripada pertuduhan mencederakan muridnya itu pada 6 April lalu.

Sumber: Harian Metro


Share this

Related Posts

Previous
Next Post »