Himpunan Sokong Cikgu Azizan, KPM Tiada Halangan - Mahdzir

15:41:00
PADANG TERAP 18 Dis. - Kementerian Pendidikan tidak menghalang mana-mana guru untuk berhimpun bagi memberi sokongan kepada Cikgu Azizan yang dibicarakan kerana mendenda pelajarnya di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan esok.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan mana-mana guru yang mahu berhimpun untuk memberi sokongan kepada rakan mereka itu disifatkan sebagai hak individu.

"Isu kehadiran di mahkamah itu hak peribadi masing-masing tak bersangkut apa-apa. Mereka hanya memberi sokongan kepada guru yang dihadapkan di mahkamah," katanya di sini hari ini.

Akhbar melaporkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta orang ramai terutama ahlinya supaya memberikan sokongan kepada Cikgu Azizan dengan hadir ke mahkamah termasuk menyokong melalui media sosial dengan tanda pagar 'PrayForCikguAzizan' yang menjadi tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Mengikut laman web www.pendidik2u.my, Cikgu Azizan ditahan selepas dipercayai mendenda muridnya kerana kesalahan menghidu gam dan mempengaruhi rakan, buli, memukul murid serta ponteng sekolah.

Sebutan kes berkenaan dibuat pada 31 Oktober lalu manakala 27 November lalu adalah penyerahan dokumen dan 19 Disember ini ditetapkan sebagai tarikh perbicaraan kes.

Jika didapati bersalah, Cikgu Azizan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber - UTUSAN ONLINE


loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »