Guru perlu keluar zon selesa

07:08:00
Imej via skmtm.blogspot.my
PENGUMUMAN yang dibuat oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Amin Senin, mengenai tidak perlu mengasingkan kelas berdasarkan keputusan peperiksaan murid datang tepat pada masanya selepas mengambil langkah tegas untuk melaksanakan Pelaporan Pencapaian Sekolah Rendah (PPSR) baru-baru ini. Begitu juga arahan yang selari dengan perubahan tersebut telah diberikan kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk tidak lagi mewujudkan sekolah kawalan di negeri masing-masing.
loading...

Pengasingan kelas mengikut pencapaian murid dalam akademik ini telah lama wujud dalam sistem pendidikan formal di mana-mana negara dalam dunia sejak zaman dahulu lagi. Cara ini memudahkan guru memberikan fokus kepada peningkatan pencapaian murid berdasarkan tahap kompetensi murid yang telah dikenal pasti melalui ujian berbentuk diagnostik, atau perkataan mudahnya peperiksaan. Namun begitu peperiksaan ini adalah berdasarkan pentaksiran yang memberi fokus kepada aspek intelektual sahaja, tanpa mengambil kira kemampuan murid dari segi jasmani, emosi dan rohani.

Dalam usaha Kementerian Pendidikan Malaysia mentransformasi sistem pendidikan negara di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, langkah yang diumumkan ini sebenarnya adalah selari dengan Enam Aspirasi Murid yang perlu diterapkan kepada semua anak-anak yang melalui pendidikan kebangsaan. Enam Aspirasi Murid ini – pengetahuan, kemahiran dwibahasa, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, etika dan kerohanian serta identiti nasional ini adalah menjurus kepada kemahiran yang diperlukan dalam abad ke 21 seperti yang telah digariskan oleh Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum) dalam Future of Jobs Report yang meletakkan kemahiran berfikir aras tinggi dan hubungan manusia sebagai kemahiran yang penting dalam dunia pekerjaan.

Bagi memupuk kemahiran yang perlu bagi anak-anak kira mendepani cabaran masa hadapan ini, sistem pendidikan kita tidak boleh tidak berubah. Memberi fokus kepada pencapaian akademik semata-mata adalah cara yang sesuai sekiranya anak-anak kita bekerja pada tahun 50an atau 60an, di mana dunia ketika itu memerlukan lebih ramai golongan pemikir untuk membangunkan dunia selepas Perang Dunia Kedua. Namun begitu zaman sudah banyak berubah; ilmu sudah berada di hujung jari dan manusia perlu bersaing dengan Artificial Intelligence (AI) dalam era Revolusi Industri 4.0 ini. Dalam keadaan ini anak-anak kita yang bakal menjadi pemimpin dan pekerja global di masa akan datan perlu dipupuk dengan etika dan kerohanian supaya mereka tidak hanyut dalam arus deras kemajuan global.

Langkah untuk tidak mengasingkan murid berdasarkan pencapaian akademik semata-mata adalah amat wajar bagi menyediakan anak-anak warganegara untuk masa hadapan mereka sebagaimana yang direncanakan dalam PPPM 2013-2025. Begitu juga dengan sekolah kawalan yang hanya memilih murid terbaik akademiknya sahaja; sekolah begini sudah tidak relevan dalam era pendidikan global sekarang. Sebenarnya langkah ini sudahpun dimaktubkan dalam PPPM 2013-2025; mungkin ramai warga pendidik yang tidak berpeluang untuk menghadam kandungan naskhah tebal lebih 300 muka surat ini.

Untuk makluman umum, Datuk Dr Amin Senin iaitu KPPM sekarang merupakan Ketua Pejabat Pengurusan Projek (PMO) yang bertanggungjawab untuk membangunkan PPPM 2013-2025. Beliau merupakan individu yang menggerakkan usaha mendapatkan maklum balas mengenai sistem pendidikan negara ketika Dialog Nasional Pendidikan Negara diadakan pada tahun 2012, justeru beliau amat memahami dasar dan inisiatif pendidikan yang bakal meletakkan Malaysia di antara sepertiga teratas dalam kalangan negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia.

Ketika PPPM 2013-2025 dibangunkan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) sentiasa dirujuk kerana falsafah ini lah yang telah menjadi tunjang kepada sistem pendidikan negara. Sekiranya dihayati bait pertama FPK ini, jelas bahawa kompetensi individu harus dipupuk secara holistik dan konsisten bagi memastikan anak-anak kita menjadi insan yang harmonis:

  • Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Selaras dengan usaha untuk menyediakan anak-anak kita dengan cabaran global, kita perlu mengubah pendekatan pendidikan daripada berorientasikan akademik kepada pemupukan nilai berbentuk sejagat kerana FPK telah menetapkan matlamat berikut:

  • Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Ternyata usaha ini bukan satu usaha yang mudah. Warga pendidik perlu keluar daripada zon selesa dan rutin cara kerja yang biasa kepada yang luar daripada kebiasaan bagi mewujudkan ekosistem pembelajaran dalam komuniti. Pendidikan anak-anak dalam abad ke 21 ini amat memerlukan pelibatan aktif ibu bapa dan masyarakat serta sokongan bersepadu daripada pihak berkepentingan yang lain demi masa hadapan negara yang lebih gemilang. Jadikan 2018 ini sebagai satu era baharu dalam mengubah cara bekerja dan memberikan fokus kepada kemenjadian murid itu sendiri.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BAHARU 2018.

Sumber: Dr. Norhayati Ismail


Share this

Related Posts

Previous
Next Post »