Guru disiasat kerana didakwa hina Islam di Facebook

21:34:00
MIRI: Seorang guru sekolah rendah di sini disiasat oleh polis kerana dipercayai memuat naik satu komen di Facebook yang dikatakan menghina umat Islam ketika memberikan komen berkaitan Islam dan Baitulmaqdis.
loading...

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata setakat ini dua laporan polis dibuat di Kuching dan di sini selepas komen guru lelaki itu menjadi viral.

"Kami sudah mengenal pasti pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Raph Binsing dan akan memanggilnya untuk soal siasat," katanya di sini.

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kegusaran terhadap awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana mendatangkan khianat awam.

Komen Raph Binsing mengenai Islam dan pengiktirafan Baitulmaqdis oleh Amerika Syarikat sebagai ibu negara baharu Israel telah mengundang kemarahan netizen.

Sementara itu, semasa mengakses akaun Facebook itu, didapati pemiliknya sudah memohon maaf atas komen itu dan menyatakan rasa kesal kerana menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini termasuk rakan-rakan dan sanak saudaranya.

Katanya, beliau sudah menyerah diri kepada polis.

- BERNAMA


Share this

Related Posts

Previous
Next Post »