Friday, 15 December 2017

Fahami Jenis-Jenis Kumpulan Wang Sekolah

Kumpulan Wang Sekolah terdiri daripada tiga jenis kumpulan wang yang dipertanggungjawabkan kepada Pengurus Sekolah untuk diurus dan diperakaunkan mengikut peraturan dan tatacara yang telah ditetapkan.
loading...
JENIS-JENIS KUMPULAN WANG SEKOLAH

Tiga jenis Kumpulan Wang Sekolah adalah seperti berikut:-

(a) Kumpulan Wang Kerajaan (KWK);
(b) Kumpulan Wang SUWA (KWS); dan
(c) Kumpulan Wang Asrama (KWA).

Setiap kumpulan wang diuruskan secara berasingan dan satu akaun bank dibuka bagi setiap kumpulan wang tersebut. Walau bagaimanapun, sekolah yang bilangan muridnya kurang daripada 150 orang atau Sekolah Kurang Murid (SKM) dibenarkan mempunyai satu akaun bank bagi menguruskan semua Kumpulan Wang Sekolah.

Sekolah tidak dibenarkan untuk mengakaunkan kutipan bayaran balik yang melibatkan Vot seperti bayaran balik emolumen, bayaran balik utiliti dan lain-lain yang berkaitan ke dalam akaun bank Kumpulan Wang Sekolah.

KUMPULAN WANG KERAJAAN

Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) bertujuan mengakaunkan terimaan dan bayaran daripada sumber Kerajaan termasuk biasiswa daripada lain-lain agensi kerajaan dan faedah bank serta dibelanjakan mengikut maksud setiap terimaan kecuali berkaitan dengan asrama.

Sumber kewangan yang diperakaunkan ke dalam KWK termasuklah:

(a) Bantuan Persekolahan daripada KPM
(b) Bantuan Biasiswa ;
(c) Faedah bank; dan
(d) Pemberian lain bagi program khas Kementerian Pelajaran Malaysia dan lain-lain agensi Kerajaan.

Walau bagaimanapun, sumber kewangan KWK adalah tertakluk kepada pekeliling/surat edaran yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa.

KUMPULAN WANG SUWA (Sumbangan Wang Awam)

Kumpulan Wang SUWA (KWS) bertujuan mengakaunkan terimaan dan bayaran daripada sumber awam termasuk terimaan daripada murid/pelajar/orang awam/agensi bukan kerajaan dan faedah bank serta dibelanjakan mengikut maksud setiap terimaan kecuali berkaitan dengan asrama.

Sumber kewangan yang diperakaunkan ke dalam KWS termasuklah:

(a) Semua kutipan daripada murid/pelajar/ibu bapa/penjaga yang telah mendapat kelulusan daripada Pendaftar atau bayaran-bayaran yang dibenarkan mengikut peruntukan Akta Pendidikan 1996, Peraturan-Peraturan Pendidikan dan Surat-Surat Siaran berkaitan Bayaran Persekolahan yang masih berkuatkuasa kecuali yuran PIBG.
(b) Sewa kantin sekolah dan kedai buku sekolah;
(c) Sumbangan daripada kedai buku sekolah/ koperasi sekolah;
(d) Sumbangan daripada orang awam;
(e) Caj yang dikenakan ke atas penggunaan harta dan kemudahan sekolah;
(f) Deposit diterima;
(g) Faedah bank; dan
(h) Terimaan-terimaan lain yang berkaitan.

Kegunaan wang SUWA adalah seperti berikut:

(a) Wang Yang Dikutip Khas Untuk Sesuatu Tujuan Apabila pihak sekolah membuat kutipan daripada murid atau orang awam untuk sesuatu tujuan seperti:

(i) Bayaran tambahan di Sekolah Agama Bantuan
Kerajaan (SABK);
(ii) Penerbitan Majalah Sekolah; dan
(iii) Lain-lain kutipan yang diluluskan oleh Pendaftar.

(b) Wang Yang Dikutip Secara Am Kutipan seperti sewa kantin, derma am, pendapatan daripada kedai buku sekolah, caj yang dikenakan ke atas penggunaan harta dan kemudahan sekolah, faedah bank dan pelbagai merupakan kutipan yang tidak dikhaskan untuk sesuatu tujuan.

Wang yang diterima daripada punca ini boleh digunakan oleh pihak sekolah untuk:

(i) Perbelanjaan menjalankan aktiviti-aktiviti murid;
(ii) Perbelanjaan membawa murid mendapatkan rawatan kecemasan;
(iii) Perbelanjaan yang memberi manfaat secara langsung kepada murid.

(c) Kegunaan Lain Wang SUWA

Perbelanjaan selain daripada perkara (a) dan (b) diwajibkan mendapat kelulusan daripada Ketua PTJ sebelum sebarang perolehan dibuat.

KUMPULAN WANG ASRAMA

Kumpulan Wang Asrama (KWA) bertujuan mengakaunkan terimaan dan bayaran berkaitan dengan asrama daripada sumber kerajaan dan awam termasuk terimaan daripada murid/pelajar/orang awam/agensi bukan kerajaan dan faedah bank serta dibelanjakan mengikut maksud setiap terimaan.

Sumber kewangan yang diperakaunkan di bawah KWA termasuklah:

(a) Bantuan Geran Per Kapita Lain-lain Perbelanjaan Berulang Tahun untuk asrama (LPBT Asrama);
(b) Bantuan Makanan Asrama (BMA);
(c) Bayaran Kokurikulum Asrama (BKKA);
(d) Derma/Sumbangan dari orang ramai/Agensi Kerajaan/Badan Berkanun
(g) Faedah bank; dan
(h) Pelbagai pemberian/kutipan lain berkaitan asrama yang diluluskan oleh Pendaftar dan bayaran-bayaran yang dibenarkan mengikut peruntukan Akta Pendidikan 1996, Peraturan-Peraturan Pendidikan dan surat-surat siaran berkaitan bayaran persekolahan yang masih berkuatkuasa.

Bagi asrama yang disediakan berasingan daripada sekolah (Asrama Pusat), sekolah yang dilantik oleh Ketua PTJ hendaklah mengurus serta mengendalikan kewangan dan perakaunan berkaitan dengan KWA.

Ketua Warden bertanggungjawab membuat kutipan bayaran makanan asrama dan pelbagai pemberian/kutipan lain berkaitan asrama yang dibenarkan mengikut peraturan-peraturan sedia ada.

Sumber: Buku Tatacara Pengurusan Kewangan Sekolah




Google+ Followers