Dua guru satu kelas, fokus pada subjek tertentu

00:14:00
KUALA LUMPUR: Mekanisme dua guru dalam satu kelas sudah lama diamalkan di negara Barat, yang boleh dijadikan contoh terbaik untuk diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di negara ini.

Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata banyak sekolah di negara Barat seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, sudah lama mempraktikkan konsep dua guru iaitu guru dan pembantu guru bagi melancarkan proses PdP dalam sesebuah kelas.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan dua guru di negara Barat hanya menumpukan kepada beberapa subjek utama kerana murid memerlukan kefahaman dan tahap penguasaan yang lebih bagi subjek berkenaan.
loading...
"Justeru, saya mencadangkan amalan dua guru dalam satu kelas di negara ini wajar diberi keutamaan kepada subjek tertentu seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik, bagi membolehkan guru atau pembantu guru memberi tumpuan penuh kepada murid.

"Dalam lawatan kerja ke negara Barat sebelum ini, saya melihat amalan berkenaan berjaya dan berkesan.

"Guru yang mengajar di hadapan kelas tidak perlu menerangkan berulang kali kepada murid yang tidak faham, sebaliknya tugas itu dipertanggungjawabkan kepada pembantu guru," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, dilaporkan berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan pelaksanaan dua guru dalam satu kelas selaras dengan keperluan proses pengajaran berikutan arahan pemansuhan pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik murid menjelang 2019.

Mengulas kesediaan Kementerian Pendidikan untuk mempertimbangkan pelaksanaan dua guru dalam satu kelas, Alimuddin berkata, perkara itu dilihat sebagai langkah positif dalam meningkatkan keberkesanan pembelajaran, terutama bagi kelas yang mempunyai lebih 40 murid.

Malah, katanya, peranan pembantu guru juga boleh mengurangkan bebanan kerja seseorang guru, termasuk membantu menyemak buku latihan murid.

Sumber: Bharian


Share this

Related Posts

Previous
Next Post »