Saturday, 30 December 2017

2 guru 1 kelas dipertimbang jika selaras dengan pedagogi - KPPM

KUALA LUMPUR: Penilaian nisbah guru dan saiz kelas bagi memastikan keberkesanan tumpuan proses pembelajaran boleh diteliti semula jika selaras kaedah pedagogi.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata pertimbangan khusus itu boleh dilaksanakan terhadap sekolah yang mempunyai kepadatan pelajar melebihi 40 orang dalam sebuah bilik darjah.

"Kita kena tengok secara menyeluruh kerana saya faham masalah yang dihadapi warga pendidik apabila terpaksa mengendalikan kelas besar (jumlah murid ramai).

loading...
"Benda ini (pertimbangan tambah nisbah guru) tiada masalah, kita boleh bincang sebab bukan semua kelas mempunyai pelajar 40 orang," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd Razak, semalam, mengusulkan supaya Kementerian Pendidikan memperuntukkan dua guru dalam satu kelas, selaras transformasi pembelajaran abad ke-21 yang ingin dilaksanakan kerajaan.

Menyedari cadangan itu mungkin berdepan kekangan kewangan, NUTP mengemukakan penyelesaian alternatif iaitu mengurangkan jumlah murid dalam kelas seperti dilaksana negara maju bagi memastikan keberkesanan tumpuan proses pembelajaran.

Mengulas reaksi pelbagai pihak mengenai pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik pelajar, Amin berkata, arahan itu terpakai dalam konteks pengukuhan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bermula dari Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 di sekolah menengah.

"Prinsip asas PBS ialah menekankan pembentukan murid secara holistik kerana PBS adalah antara instrumen utama bagi menterjemahkan falsafah pendidikan negara dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

"Oleh itu, pengasingan murid sebagai ciri kekal tidak bersesuaian dengan prinsip pendidikan holistik yang menjadi teras pendidikan Malaysia.

"Bagaimanapun, saya tidak menolak jika pengasingan itu digunakan sebagai kaedah atau alat pedagogi yang mempunyai tujuan khusus dan bersifat sementara, selain mempunyai intervensi jelas seperti kelas Literasi dan Numerasi (LINUS)," katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan, sekolah kawalan yang dimaksudkan dalam arahan pemberhentian pelaksanaan menjelang 2019 adalah sekolah kawalan pentadbiran yang dilakukan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Katanya, inisiatif itu bukan dasar Kementerian Pendidikan, sebaliknya dilaksanakan sepenuhnya oleh JPN atau PPD untuk tujuan tertentu.

"Ini berbeza dengan kategori sekolah seperti Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Kolej Vokasional, Sekolah Seni dan Sukan kerana mempunyai tujuan khusus serta kriteria yang menjadi dasar diluluskan Kementerian Pendidikan.

"Kategori seperti ini tidak termasuk dalam sekolah kawalan yang saya maksudkan dalam arahan pemberhentian menjelang 2019," katanya.

Sumber: Bharian

Google+ Followers