Thursday, 2 November 2017

PISA disambung tiga tahun lagi

Tags

PARIS 31 Okt. - Malaysia memperbaharui komitmen Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) untuk tempoh tiga tahun lagi, bermula tahun ini.

Badan yang mengawal selia PISA, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) akan melakukan pensampelan tentang sekolah, guru dan pentadbiran berdasarkan kriteria tertentu, sebelum menentukan sekolah mana yang bakal menyambut program penarafan pendidikan antarabangsa itu.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika mengumumkan perkara itu di sini menegaskan:

“Yang paling penting ialah bagaimana PISA mempengaruhi pencapaian pelajar-pelajar kita dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik, sementara dari segi guru, bagaimanakah pentaksiran PISA boleh membuatkan guru kita boleh berimpak tinggi dari segi pengajaran dan pembelajaran, dan ketiganya kita lihat kesannya terhadap kualiti kepemimpinan di sekolah.”

Pentaksiran itu dilaksanakan OECD, dan Malaysia menyertainya sejak pusingan pertama pada 2015 sehingga 2017.

Komitmen itu dinyatakan oleh beliau secara rasmi kepada Pengarah Pendidikan dan Kemahiran dan Penasihat Khas kepada Ketua Setiausaha OECD, Andreas Schleicher.

Mahdzir diiringi pegawai tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diketuai Ketua Pe-ngarah Pelajaran yang baharu, Datuk Dr. Amin Senin serta beberapa pegawai kanan lain, sebaik tiba di sini untuk menghadiri Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bermula hari ini.

Mahdzir merumuskan, pertemuan itu membuahkan hasil yang sangat positif.

China, Indonesia, Filipina dan Singapura adalah antara rakan serantau yang menyertai PISA.

“Untuk tahun berikutnya, PISA akan bermula pada 2017 dan penilaian akan dibuat pada 2018 dan keputusannya pada 2019,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini, yang turut dihadiri Dr. Amin. - UTUSAN ONLINE

loading...

Google+ Followers