Thursday, 23 November 2017

PAJSK nilai prestasi kokurikulum, UPSR murid

PUTRAJAYA 22 Nov. - Bermula pada tahun ini, sijil Pentaksiran Aktiviti Jas­mani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) akan dikeluarkan bersama-sama keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk menilai pencapaian kokurikulum murid sepanjang ber­ada di sekolah rendah.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Ke­senian Kementerian Pendidikan, Mohd. Rashid Mean berkata, pencapaian kokurikulum amat pen­ting kerana keputusan itu akan diambil kira untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Beliau berkata, terdapat tiga komponen utama yang dinilai oleh PAJSK iaitu pasukan badan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan. Penglibatan, penyertaan dan pres­tasi murid di dalam tiga komponen itu akan dinilai dan direkodkan didalam Pentaksiran Ber­asaskan Sekolah (PBS).

“Keputusan murid dalam PAJSK akan dikeluarkan dalam sistem Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA), hanya dua prestasi terbaik daripada tiga komponen utama itu akan diambil kira untuk keputusan akhir. Melalui kaedah ini ibu bapa juga dapat melihat pencapaian kokurikulum anak-anak dengan lebih jelas.

Rashid Mean
“Pelaksanaan PAJSK teruta­manya melibatkan ekstra kurikulum dapat mewujudkan satu kegiatan sukarela yang bermanfaat semasa atau di luar waktu persekolahan kepada murid yang terlibat. Kegiatan itu juga dapat membantu pembentukan peri­badi yang baik dalam kalangan pelajar,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Yang hadir sama Ketua Penolong Pengarah Unit Pendidikan Jasmani dan Sains Sukan, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Kamariah Mohd. Yassin.

Menurut Mohd. Rashid, me­la­lui PAJSK turut diadakan program bagi mengukur tahap kecergasan dan kesihatan murid iaitu Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (Segak) dan laporan kecergasan itu juga akan di lampirkan bersama keputusan UPSR.

“Pada tahun ini, kementerian mengambil pendekatan untuk membuat pembaharuan dengan mengeluarkan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah. Kebiasaannya murid tahun enam hanya memperolehi keputusan UPSR sahaja, namun kali ini mereka juga akan mendapat sijil PAJSK, Pentaksiran Psikometrik (PPsi), Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR),” katanya.

Mohd. Rashid berkata, PAJSK mula diperkenalkan di peringkat sekolah rendah mulai tahun 2014 manakala di sekolah menengah pada tahun 2012 merupakan lanjutan daripada Penilaian Kokurikulum yang secara rasmi diguna pakai bermula tahun 2006.

Katanya, penguatkuasaan ujian tersebut merujuk kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet pada 4 Mei 2005 yang memutuskan merit sebanyak 10 peratus diberikan untuk markah kokurikulum sebagai syarat utama kemasukan ke universiti awam.

“Pentaksiran Kokurikulum di sekolah meliputi tiga aspek utama iaitu penglibatan, penyertaan dan prestasi, semua aktiviti yang disertai pelajar berkenaan akan direkodkan bagi menggalakkan mereka mendapatkan skor setim­pal bagi penglibatan dalam akti­viti berkaitan.



“Bagi menentukan pelajar sentiasa cergas dan bergiat aktif dalam kegiatan kokurikulum, peni­laian dilakukan pada setiap tahun sepanjang persekolahan. Pengli­batan yang direkodkan dalam PBS ini juga membekalkan rekod kepada kementerian untuk melihat sejauh mana penglibatan sukan di setiap sekolah,” katanya.

Mohd. Rashid berkata, keputusan pentaksiran akan dipersembahkan dalam bentuk prestasi tahun semasa dan himpunan p­restasi sepanjang tempoh persekolahan iaitu bermula dari 1 Januari hingga 31 Disember akan direkodkan melalui nilai gred kumulatif (GPA).

“Pencapaian murid akan diberikan mengikut gred iaitu A sehingga E, manakala murid yang tidak melaksanakan aktiviti akan direkodkan TL dalam keputusannya. A membawa maksud murid seorang yang aktif, komi­ted dan menunjukkan potensi diri yang tinggi dalam aktiviti yang disertai.

“Keputusan B pula membawa maksud murid seorang yang aktif, komited dan menunjukkan minat yang memuaskan dalam aktiviti yang disertai, manakala C menunjukkan penglibtan dan penyertaan murid dalam aktiviti yang diserta adalah me­muaskan,” katanya.

Mohd. Rashid berkata, pen­taksi­ran mengenai PPsi bertujuan mengukur kebolehan pelajar secara tepat dan lebih mendalam dari segi minat, sikap, perso­naliti, kecenderungan, kemahiran berfikir dan kemahiran menyelesaikan masalah supaya potensi murid dapat diserlahkan secara optimum.

“PPsi bukan sahaja dapat mem­bantu pelajar berkenaan malah, ibu bapa dapat mengenal pasti potensi, kecen­derungan dan minat pelajar, sete­rusnya dapat merancang hala tuju pendidikan serta kerjaya mereka dengan lebih sistematik,” katanya.

Sumber : UTUSAN ONLINE

loading...

Google+ Followers