Tuesday, 7 November 2017

Kekalkan Skim Pencen Penjawat Awam - CUEPACS

SEREMBAN – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu kerajaan mengekalkan Skim Pencen Perkhidmatan Awam, tidak kira bagi kakitangan awam sedia ada atau baharu pada masa akan datang.
Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata antara sebab utama skim pencen dilihat masih relevan adalah kerana gaji penjawat awam agak rendah berbanding pekerja swasta, sehingga menyukarkan kakitangan awam mempunyai simpanan mencukupi apabila bersara kelak.
loading...

"Forum Pencen Sedunia pun ada menyatakan bukan sahaja pencen perlu dikekalkan tetapi nilainya perlu ditambah supaya ia mencukupi dan mampu menampung peningkatan kos sara hidup," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Taklimat Isu-isu Semasa dan Bual Bicara bersama kakitangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Negeri Sembilan dan Melaka, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Fama Negeri Sembilan, Muslim Manja.

Sementara itu, Azih meminta kerajaan mempertimbangkan untuk memberi kenaikan gaji kepada kakitangan awam, terutamanya untuk kumpulan pelaksana yang dilihat amat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.

"Saya tidak dapat bayangkan kalau kerajaan tidak pertimbangkan kenaikan gaji pada masa akan datang, kerana harga barang di pasaran sekarang tidak mampu untuk ditampung oleh penjawat awam.

"Saya juga amat kecewa apa bila mendapati 48 peratus permohonan penjawat awam untuk membeli rumah melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam ditolak. Ini salah satu indikator menunjukkan gaji yang ada sekarang tidak mencukupi," katanya.

Justeru, Azih berharap agar kerajaan dapat mempertimbang untuk menaikkan gaji kakitangan awam bagi mengimbangi kos sara hidup pada masa ini. - Bernama


Google+ Followers