Thursday, 23 November 2017

Kejayaan Semua Murid Tahun 6 Perlu Diraikan Daripada Semua Aspek

Gambar hiasan
SAYA tertarik membaca beberapa artikel, komen dan pandangan yang ditulis dalam media cetak dan media sosial sejak kebelakangan ini berkaitan sistem pendidikan dan peperiksaan di negara kita.

Kenyataan awal yang dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin, tentang Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) yang akan diumumkan pada 23 November 2017 ini lebih menarik perhatian saya. Dalam kenyataan awal yang beliau berikan, dua perkara yang menarik perhatian saya ialah mulai tahun ini, keputusan UPSR tidak akan dilaporkan Gred Purata Sekolah (GPS) dan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP). Perkara ini sangat tepat pada masanya untuk mengelakkan berlakunya perbadingan dan persaingan yang tidak sihat dalam kalangan murid, guru, sekolah, daerah dan negeri.

Saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa kementerian sangat mementingkan pencapaian yang cemerlang murid-murid yang mengambil UPSR. Perkara ini memang digalakkan. Dalam mengejar kecemerlangan itu, GPS dan GPMP sahaja tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk melihat kejayaan sekolah dan kemenjadian murid.Ukuran menyeluruh perlu diberikan terhadap pencapaian murid-murid melepasi tahap penguasaan minimum dalam semua mata pelajaran seperti yang dijanjikan melalui PPPM perlu diutamakan.

Kedua, beliau menjelaskan bahawa PPSR merupakan bentuk pelaporan baharu yang memberi penekanan dan perhatian terhadap empat jenis penilaian yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan pada peringkat sekolah rendah, iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi), Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta Pentaksiran Altenatif Sekolah Rendah (PASR).

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang diperkenalkan pada tahun 1983 jelas menunjukkan hala tuju pendidikan di Malaysia, iaitu untuk memperkembang potensi individu murid secara menyeluruh dan bersepaduuntuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Berdasarkan FPK ini, kita mempunyai harapan yang tinggi untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, semangat FPK diterjemahkan dengan memperlihatkan enam ciri murid yang menjadi aspirasi negara, iaitu murid berpengetahuan, berkemahiran berfikir, berkemahiran memimpin, berkemahiran dwibahasa, beretika dan berkerohanian, serta mempunyai identiti nasional.

Berdasarkan FPK dan PPPM, kementerian seharusnya melihat secara teliti berkaitan kemenjadian murid. Kemenjadian murid dilihat melalui hasil keberkesanan proses persekolahan.Kualiti murid bukan sahaja dilihat dari segi pencapaian akademik berdasarkan keputusan UPSR semata-mata malahan dalam semua program dan aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang dijalankan oleh guru dan pihak sekolah. Melihat pencapaian cemerlang dalam UPSR telah terbudaya dalam masyarakat sehingga pada hari ini.

Menyentuh isu meraikan kejayaan murid dalam UPSR, adakah sesuai diiktiraf dan diraikan kejayaan mereka dalam empat atau enam mata pelajaran sahaja? Padahal, di sekolah selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil murid-murid diajar semua mata pelajaran seperti Pendidikan Islam/Pendidikan Moral, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan dan Pendidikan Kesenian.

Di samping itu, murid-murid juga diajar mata pelajaran tambahan iaitu, Bahasa Arab, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil di Sekolah Kebangsaan, Bahasa Iban/ Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Semai. Manakala murid-murid berkeperluan khas mempelajari Bahasa Isyarat Komunikasi.

Dalam pendidikan di sekolah rendah, terdapat komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang bersifat formatif, iaitu mengutamakan kemajuan setiap murid dan membantu guru membuat diagnostik bagi mengesan perkembangan pembelajaran murid dari semasa ke semasa. PBD dilaksanakan untuk semua mata pelajaran berdasarkan tahap penguasaan murid dan bukan untuk perbandingan antara murid. Guru menggunakan pelbagai aktiviti pembelajaran yang menepati kurikulum dan bersesuaian dengan tahap penguasaan murid. Kaedah pentaksiran dalam sesi pengajaran dan pembelajaran untuk menentukan tahap penguasaan murid dilaksanakan di dalam bilik darjah. PBD dapat dilaporkan melalui enam tahap penguasaan murid merujuk pengetahuan, kemahiran dan nilai yang terdapat dalam mata pelajaran tersebut.

Dalam konteks pencapaian akademik, pada pandangan saya, pihak sekolah perlu meraikan kejayaan murid Tahun Enam dengan melihat pencapaian murid secara keseluruhan dalam semua mata pelajaran yang dipelajari dan tidak terbatas terhadap mata pelajaran yang diambil dalam UPSR sahaja.

Dalam konteks kegiatan kokurikulum pula, maklumat berkaitan penglibatan murid dalam kegiatan kokurikulum sama ada melalui aktiviti kelab/persatuan, sukan/permainan dan ekstrakurikulum juga perlu diberikan penghargaan atas kejayaan mereka. Prestasi yang baik serta kepujian dalam aktiviti kokurikulum yang ditunjukkan oleh murid-murid berdasarkan penglibatan, penyertaan dan pencapaian mereka dilaporkan menerusi PAJSK bagi setiapmurid.

Dalam PAJSK juga, pelaporan kecergasan fizikal murid berdasarkan tahap kesihatan diukur melalui ujian standard kecergasan fizikal (SEGAK). Ujian ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat tentang pengetahuan dan amalan aktiviti kecergasan untuk meningkatkan dan mengekalkan tahap kecergasan fizikal berdasarkan tahap kesihatan yang optimum. Ujian SEGAK terdiri daripada Ujian Indeks Jisim Badan (BMI) dan Ujian Fizikal yang dilaksanakan di semua sekolah pada bulan Mac dan Ogos setiap tahun.

Melalui ujian SEGAK, kita akan mengetahui tahap kecergasan murid dan potensi mereka untuk terlibat dalam pelbagai kegiatan sukan dan permainan pada masa akan datang. Manakala Ujian Indeks Jisim Badan (BMI) memberi petunjuk yang jelas kepada semua pihak termasuk guru, ibu bapa, pihak pentadbir sekolah dan semua pihak yang berkepentingan untuk mengetahui tahap obesiti, potensi murid yang mungkin akan mencapai tahap obesiti tinggi dan murid yang pertumbuhan fizikal tidak normal. Maklumat ini akan membantu semua pihak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi melahirkan murid yang normal pertumbuhan fizikal mereka.

Dalam UPSR, perhatian yang lebih penting diberikan adalah terhadap tahap penguasaan minimum murid dalam setiap mata pelajaran. Setiap tahun kita dimaklumkan bahawa terdapat sejumlah besar murid Tahun Enam gagal mencapai tahap penguasaan minimum dalam mata pelajaran yang mereka pelajari sepanjang tempoh mereka berada di sekolah rendah.

Dalam UPSR, murid yang tidak mencapai tahap penguasaan minimum ialah murid yang memperoleh gred ‘E’. Jumlah murid yang memperoleh gred ini dalam mata-mata pelajaran tertentu seperti Bahasa Inggeris dan Matematik agak tinggi. Semua pihak termasuk pentadbir sekolah dan guru perlu memberikan perhatian terhadap kumpulan pelajar ini untuk diberikan pelbagai program untuk mempertingkatkan tahap penguasaan mereka dalam mata pelajaran yang dipelajari.

Dalam kontekes meraikan murid cemerlang, kebiasaannya kumpulan murid ini akan menjadi penonton sahaja. Mungkin mereka tidak cemerlang dalam akademik tetapi cemerlang dalam kegiatan kokurikulum. Mereka juga perlu diraikan. Sangat tidak adil untuk mewujudkan diskriminasi yang keterlaluan dalam kalangan murid seperti ini pada usia mereka yang terlalu muda.

Saya melihat Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah yang baharu ini, memberikan perhatian terhadap Pentaksiran Psikometrik (PPsi). Penilaian ini dijalankan untuk mengumpul maklumat berkaitan tret psikologi murid, kebolehan semula jadi, kebolehan yang diperoleh, bakat, minat, kecenderungan dan sebagainya. Maklumat ini sangat berguna kepada guru untuk menyesuaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran untuk semua murid. Ibu bapa boleh menggunakan maklumat ini untuk menentukan aliran pendidikan pada masa akan datang. Pada akhirnya boleh menentukan laluan kerjaya anak mereka. Pelaporan PPsi ini juga bersifat individu.

Dahulu kita kurang memberi perhatian terhadap murid-murid berkeperluan khas dalam memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada mereka. Dalam PPSR, saya melihat Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) juga diberikan perhatian. Perkara ini sangat baik. Pencapaian berkeperluan khas dilihat dalam enam bidang atau konteks utama iaitu kemahiran berkumunikasi dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, kemahiran mengira, kemahiran hidup asas, kemahiran asas sains dan nilai-nilai murni kendiri dan bermasyarakat. Kejayaan yang dicapai oleh mereka seharusnya juga diberikan pengiktirafan dan diraikan.

Saya berpendapat, pihak sekolah perlu bijak dalam mengatur program meraikan kecemerlangan murid di sekolah mereka. Kecemerlangan akademik dan kokurikulum untuk semua murid sama ada murid normal atau murid berkeperluan khas perlu diberikan perhatian. Pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik semata-mata akan menyekat kemenjadian murid seperti yang dihasratkan dalam FPK dan PPPM.

Sumber: Mohd. Hazeman Zakaria


loading...

Google+ Followers