Monday, 13 November 2017

KBAT tidak boleh dicapai dalam masa yang singkat - Mahdzir

PUTRAJAYA: Amalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) akan berada pada tahap lebih baik dalam beberapa tahun akan datang.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata amalan KBAT satu proses dan pastinya ia mengambil masa untuk dipraktikkan.

"KBAT ini satu proses dan benda baharu, jadi tidak mungkin ambil masa satu atau dua hari untuk dijadikan sebagai amalan. Ia satu proses yang menggalakkan pelajar untuk berfikir, berkomunikasi dan membuat secara cepat.

"Saya jangka proses ini akan menjadi lebih baik dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Bacaan Ikrar Rukun Negara 2017 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(2) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup.

Mahdzir baru-baru ini menafikan dakwaan guru menjadi punca kegagalan pelajar menguasai KBAT, sebaliknya beliau menjelaskan kenyataan Timbalan Menterinya, Datuk P Kamalanathan disalah ertikan.

Kamalanathan sebelum ini dilaporkan berkata, kira-kira 40.07 peratus sekolah dinilai berada dalam amalan KBAT tahap baik dan cemerlang manakala sebanyak 59.93 peratus sekolah lain berada di bawah tahap baik dan cemerlang, serta sedang dibimbing di bawah Program Peningkatan Sekolah (SIP+) dan Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+).

Mahdzir berkata, KBAT turut menekankan aspek latihan kepada guru yang turut dilatih dari semasa ke semasa sebagai tranformasi dalam pendidikan, selain itu konsep Bilik Darjah Abad ke-21 yang menggunakan pelbagai teknologi terkini, turut dibangunkan yang menyokong amalan KBAT.

Pada majlis sama, Joseph turut menyerahkan replika cek bernilai RM220,000 kepada Mahdzir bagi pelaksanaan Program Silang Budaya di 220 sekolah.

Mahdzir berkata, penganjuran program Bacaan Ikrar Rukun Negara 2017 yang diadakan serentak di seluruh negara hari ini bertujuan meningkatkan kesedaran pelbagai lapisan masyarakat terutama generasi muda mengenai kepentingan mengamalkan lima prinsip Rukun Negara.

"Prinsip Rukun Negara perlu disematkan dalam jiwa setiap rakyat Malaysia agar sentiasa menjadi pegangan dan panduan ke arah kecintaan dan ketaatan kepada negara.

"Penghayatan dan pengamalan Rukun Negara dalam kalangan pelajar pelbagai kaum juga bertepatan dengan hasrat pembangunan modal insan yang mementingkan sahsiah terpuji, berakhlak, berkeperibadian tinggi dan berdaya saing," katanya.


loading...

Google+ Followers