Friday, 17 November 2017

Jangan bebani kudrat guru, perasaan murid dengan meraikan murid 6A semata-mata

Gambar hiasan
SAYA tertarik dengan luahan hati guru-guru dalam komen yang sering dimuat naik di laman sosial Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. Ramai yang menyokong usaha transformasi pendidikan yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025; tidak kurang juga yang berkongsi pelbagai pengalaman yang begitu mencabar sebagai guru di abad ke-21 ini.

Ternyata hasrat beliau yang pernah disuarakan semasa Perutusan Tahun Baharu 2016 untuk mewujudkan komunikasi dua hala antara dengan warga pendidik mendapat sambutan yang begitu hebat.

Dengan menggunakan sepenuhnya platform digital, Menteri Pendidikan antara pemimpin negara yang aktif di media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan mempunyai laman web sendiri di portal.tokdet.my. Menariknya adalah sikap keterbukaan beliau dalam menerima komen kalangan pendidik mengenai pelbagai perkara, dan ada kalanya memberi respon terus kepada komen tersebut.

Jelas pengalaman beliau sebagai pendidik membuatkan beliau lebih empati dengan guru-guru yang berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam mendidik anak-anak zaman Revolusi Industri 4.0 ini. Anak-anak ini yang acapkali beliau katakan sebagai digital natives kerana celik mata sahaja akan terus mencapai gajet terlebih dahulu.

Justeru sekiranya hidup anak-anak zaman ini memang berkisarkan penggunaan teknologi yang meluas, manakan wajar kaedah pengajaran dan pembelajaran masih kekal dengan cara yang berpusatkan guru. Sekolah kini bukan lagi tempat untuk ‘menimba ilmu’ sebagaimana fungsinya ketika guru-guru ini masih lagi bergelar murid, belasan atau puluhan tahun yang dulu. Ketika itu sumber ilmu adalah sekolah, kerana kebanyakan keluarga tidak mampu menyediakan bahan bacaan di rumah. Perpustakaan menjadi tempat tumpuan murid yang dahagakan pengetahuan untuk menambah ilmu yang dicurahkan oleh para guru. Buku-buku menjadi teman setia murid yang sedar bahawa nasibnya pada masa hadapan bergantung kepada keputusan akademik yang cemerlang.

Namun zaman sudah banyak berubah ekoran kepesatan teknologi yang berlaku. Ilmu kini dapat diperolehi di hujung jari melalui telefon pintar yang dimiliki oleh kebanyakan murid sekolah tidak kira di mana mereka berada. Bagi sekolah di kawasan yang sukar ditembusi teknologi wifi, Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan menyediakan kemudahan rangkaian melalui Very Small Aperture Terminal atau VSAT bagi membawa dunia luar ke kawasan pedalaman. Yang penting, anak-anak warganegara tidak akan terkebelakang dalam arus perubahan yang sedang pesat melanda dunia; dan peranan guru adalah sama pentingnya dengan peranan ibu bapa dan komuniti bagi memastikan anak-anak ini tidak ketinggalan mahupun hanyut dalam arus kepesatan teknologi ini.

Sememangnya tanggungjawab individu bergelar guru sangat mencabar dalam pendidikan alaf ini. Guru bukan sahaja menjadi subject matter expert atau pakar dalam bidang masing-masing, tetapi perlu berfikir jauh ke hadapan dan membayangkan apakah yang akan berlaku kepada anak-anak didik mereka dalam masa sepuluh atau dua puluh tahun akan datang. Bagaimana bakat dan kebolehan yang ada dapat digilap supaya mereka bersinar sebagai warganegara yang cemerlang? Apakah ilmu, kemahiran dan nilai yang perlu ada pada anak-anak ini untuk mereka menjadi penyumbang kepada kemajuan negara?

Sebenarnya guru-guru tidak perlu berfikir panjang kerana jawapannya sudah diterangkan dengan jelas dalam PPPM 2013-2025. Pelan operasi dan strategik yang telah dirangka oleh pakar pendidikan berdasarkan data yang diperolehi daripada kajian antarabangsa dan tempatan, serta input daripada pelbagai lapisan masyarakat ini telah menggariskan Enam Aspirasi yang perlu diterapkan kepada murid agar seimbang ilmu dan akhlaknya berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Bagi anak-anak ini mendepani cabaran masa hadapan yang tidak dapat dibayangkan lagi apa bentuknya, murid perlu diterapkan dengan pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran dwibahasa, kemahiran memimpin, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

Penerapan Enam Aspirasi ini bukanlah mudah kerana memerlukan usaha bersepadu dan perubahan dalam sistem pendidikan sendiri. Menyedari hakikat ini Kementerian telah meletakkan Lima Aspirasi yang perlu dicapai oleh sistem pendidikan negara iaitu Akses, Kualiti, Ekuiti, Perpaduan dan Kecekapan. Perubahan cara bekerja perlu dilakukan secara bersepadu melalui 11 Anjakan yang telah dikenal pasti, termasuk menyediakan kurikulum bertaraf antarabangsa yang direalisasikan melalui pelbagai inisiatif termasuk penerapan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah dan Menengah di kelas abad ke-21 yang ditaksir melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Hasrat murni bagi menyediakan murid untuk masa hadapan memang menjadi visi setiap guru, justeru antara luahan perasaan yang paling kerap dikongsi di media sosial adalah – “Biarkanlah kami dengan tugas mendidik, kami tahu apa yang terbaik untuk murid kami”.

Namun jelas sekali tugas pendidik sekarang bukan sekadar mendidik dalam konteks memberi ilmu. Tugas guru kini adalah bersama-sama ibu bapa dan masyarakat membentuk satu komuniti pembelajaran bagi membina sahsiah murid supaya mereka tahu membezakan antara yang betul dan salah. Ledakan maklumat yang berlaku kini membuktikan bahawa kecemerlangan akademik bukanlah penentu masa hadapan murid. Peluang pendidikan sepanjang hayat terbuka luas untuk semua anak-anak warganegara, yang penting adalah pembentukan murid yang seimbang demi menyumbang kepada kesejahteraan negara.

Oleh itu, sempena keputusan UPSR yang bakal diumumkan pada 23 November 2017, janganlah dibebani kudrat guru dan perasaan murid dengan meraikan murid yang mendapat 6A sahaja. Tidak perlu guru bertungkus-lumus mengadakan majlis khas mengumumkan beberapa murid yang cemerlang akademiknya untuk naik ke pentas sedangkan ratusan calon UPSR lain hanya memerhatikan sahaja rakan yang diraikan dengan perasaan seperti diri mereka tidak berharga.

UPSR hanyalah langkah pertama dalam pengembaraan hidup mereka sebagai insan yang syumul – teruskan meneroka dunia!

PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).



loading...

Google+ Followers