Tuesday, 21 November 2017

Ibu bapa perlu faham, A bukan segala-galanya dalam UPSR - KPPM

Tags

PUTRAJAYA 21 Nov. - Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) yang akan diumumkan Khamis ini merupakan satu laporan menyeluruh terhadap pelajar yang meliputi empat komponen utama dan bukannya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semata-mata.

Empat komponen tersebut akan menentukan kedudukan seseorang pelajar dalam sistem pendidikan negara ialah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, semua pihak terutama ibu bapa perlu memahami bahawa bukan hanya mendapat A dalam semua peperiksaan yang diambil tetapi penilaian yang dibuat terhadap anak mereka meliputi pelbagai aspek supaya mereka dapat melihat keunikan yang ada pada pelajar terbabit.

“Kementerian Pendidikan mahu menekankan kepada pembangunan sahsiah pelajar kerana setiap pelajar ini adalah unik dan berbeza. Inilah dia pendidikan yang sebenar dan mahu pelajar belajar dalam suasana yang menyeronokkan dan tidak berasaskan kepada peperiksaan semata-mata.

“Jika kita lihat di luar negara, dalam tempoh enam tahun murid-murid di alam persekolah hanya ditekankan tentang aspek sahsiah semata-mata dan inilah yang kita mahu laksanakan,” katanya pada taklimat media berhubung pengumuman keputusan PPSR 2017 di sini hari ini.

Amin menjelaskan, pengumuman yang akan dibuat nanti adalah pencapaian minimum yang berjaya dikuasai berdasarkan empat komponen yang telah dinilai terhadap pelajar terbabit termasuk kecederungan pelajar terhadap bidang tertentu.

“Kita tidak lagi membuat pengumuman atau memberitahu berapa banyak pelajar mendapat A dalam subjek yang diambil, sekolah yang paling cemerlang atau negeri yang paling bagus kerana ini adalah pembaharuan yang ingin kita laksanakan,” jelas beliau.

Ditanya mengenai syarat kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Amin menjelaskan, semua pelajar boleh membuat permohonan dan satu ujian berasingan akan dibuat namun keputusan UPSR juga akan digunakan sebagai sebahagian daripada syarat permohonan.

Sumber - Utusan Online

loading...

Google+ Followers