Wednesday, 29 November 2017

11,606 guru duka lara sudah ikut pasangan

Tags

KUALA LUMPUR: Seramai 11,606 calon guru duka lara dipindahkan mengikut pasangan masing-masing dalam tempoh, 1 Januari 2016 sehingga 1 Januari 2018.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon, berkata proses pertukaran itu dilaksana berdasarkan tiga syarat, iaitu kepentingan perkhidmatan, kekosongan jawatan dan keperluan opsyen negeri yang dipohon.

"Isu guru duka lara akan terus wujud kerana urusan pemindahan tempat kerja guru berkahwin berlaku sepanjang tahun, namun kementerian sentiasa berusaha untuk menyelesaikannya.

"Bagaimanapun, setiap permohonan perlu mengikut syarat yang ditetapkan bagi menjamin kelangsungan perkhidmatan di institusi pendidikan," katanya menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu), di Dewan Rakyat, hari ini.

King Sing meminta perangkaan guru duka lara yang berjaya disatukan kembali dengan pasangan susulan pelbagai isu, sehingga mengundang masalah seperti perceraian dan perselisihan rumah tangga.

Menjawab soalan tambahan King Sing pertimbangan lain kementerian dalam meneliti permohonan guru duka lara, Sin Woon berkata, beberapa pertimbangan turut diambil kira dalam isu berkenaan.

Beliau berkata, ia merangkumi kes sakit kronik dalam kalangan ibu bapa pendidik, selain guru yang berdepan ancaman keselamatan diri.

"Kes ini juga diambil kira untuk pertukaran, namun kita perlu lihat kekosongan di negeri yang dipohon bagi memastikan keseimbangan penawaran dan permintaan jawatan.

"Ini tugas sukar kerana sehingga kini, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis merekodkan jumlah permohonan pertukaran guru duka lara tertinggi ke negeri berkenaan, tetapi mempunyai kekosongan jawatan yang terhad," katanya.

Sin Woon berkata, kementerian turut memberi pilihan kepada guru duka lara untuk berkhidmat di negeri berhampiran sekiranya tiada kekosongan jawatan di tempat yang dipohon.

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan guru duka lara menolak tawaran itu kerana beranggapan bakal berdepan kesukaran untuk membuat permohonan pertukaran semula selepas bertugas di mana-mana negeri.

"Contohnya, di Kelantan saja, kita menerima permohonan pertukaran guru duka lara menjangkau 1,999 orang, namun kekosongan jawatan sekolah menengah hanya 40 tempat," katanya menjawab soalan Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang).

Sumber: Bharian

loading...

Google+ Followers