Monday, 30 October 2017

Subjek asas TVET harus diajar di peringkat Prasekolah

Imej via http://sharidahipgmkbm.blogspot.my
BESUT - Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh menyarankan agar kanak-kanak berumur dua hingga enam tahun diberi pendedahan awal mengenai mata pelajaran pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta bahasa asing bagi memastikan mereka bersedia menghadapi kemajuan dunia dalam bidang berkenaan.

Justeru katanya, pihak yang mengendalikan pendidikan di peringkat kanak-kanak di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) perlu bersedia untuk menghadapi pendekatan baharu tersebut agar kanak-kanak tidak ketinggalan dalam menguasainya di masa depan.

“Sebagai contoh di Terengganu, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) termasuk Yayasan Islam Terengganu (YIT) iaitu pihak yang terbabit dalam mengasuh dan mendidik peringkat awal kanak-kanak perlu bertindak agar setiap kanak-kanak di negeri ini dapat menguasai subjek pendidikan arus perdana dalam mata pelajaran Sains dan Matematik serta bahasa di Tahun 1 kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Taska peringkat negeri di Kota Putera Square, Kampung Raja di sini yang turut dihadiri Adun Kota Putera, Mohd Mahdi Musa dan Pengarah YPKT Mohd Safaruddin Mustaffa.

Idris yang juga Ahli Parlimen Besut berkata perancangan yang menepati sasaran perlu dilakukan YPKT dalam membentuk masa depan kanak-kanak di negeri ini agar mereka boleh diketengahkan hingga ke peringkat dunia.

Katanya, kanak-kanak mampu dibentuk mengikut kehendak negara di masa depan dengan mengguna pakai kurikulum Permata Negara yang menerapkan pendekatan belajar melalui bermain serta Konsep 3E (Explore, Experimental dan Experience).-Bernama


Google+ Followers