Tuesday, 10 October 2017

Sekolah aliran perdana sudah hilang tarikan?

Imej via Flickr
TATKALA negara masih diselubungi kesedihan dengan insiden kebakaran Darul Tahfiz Ittifaqiyyah, sebuah lagi sekolah agama persendirian terbakar di Rembau, Negeri Sembilan. Ia seperti mengesahkan laporan jabatan bomba yang mencatatkan 211 kebakaran di antara tahun 2015 hingga 2017 melibatkan pusat tahfiz. Alhamdulillah kebakaran kali ini tidak melibatkan kehilangan nyawa.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, terdapat kira-kira 150,000 pelajar belajar di sekolah tahfiz. Terdapat kira-kira 300 buah tahfiz dari 900 buah tahfiz tidak didaftarkan. Apakah keistimewaan sekolah tahfiz sehingga menarik minat jumlah pelajar yang begitu besar?


Rata-rata sekolah tahfiz menyediakan sukatan pelajaran yang terhad. Fokus utamanya adalah menghafaz al-Quran sebaik mungkin dalam masa singkat. Justeru, subjek lain tidak begitu diberikan penekanan walaupun penting seperti Bahasa Arab kerana ia dikemudiankan setelah hafalan al-Quran dikuasai.

Tenaga pengajarnya pula terdiri daripada mereka yang masih muda secara relatifnya. Kurang pengalaman mengajar dan tidak mendapat latihan formal sebagai seorang pendidik. Kemudahan pembelajaran juga agak sederhana. Ada yang beroperasi di rumah kedai, rumah kediaman ditinggalkan dan bangunan agak uzur.

Jika diperhatikan latar belakang keluarga yang menghantar anak-anak mereka ke tahfiz tidak kurang hebat dari sudut pendidikannya. Sebahagiannya adalah mereka yang datang dari golongan terpelajar. Sudah tentu mereka sanggup mengeluarkan belanja lebih bagi membayar yuran dan menyediakan keperluan lebih berbanding sekolah-sekolah kerajaan.

Mereka sanggup demi melunaskan tanggungjawab memberikan didikan al-Quran kepada zuriat mereka. Biar pun berhadapan dengan pelbagai risiko, namun ia diketepikan kerana tidak mahu dianggap cuai dalam memberikan pendidikan agama kepada anak-anak.

Satu lagi fenomena yang menarik untuk diperkatakan adalah wujudnya sejumlah 18 peratus pelajar bukan Cina di SJKC pada tahun 2015. Di Melaka sahaja pada 2016 terdapat 6,800 pelajar Melayu di SJKC di negeri itu. Dijangkakan jumlah ini semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Kenapakah fenomena ini berlaku? Dengan peruntukan besar pada setiap kali belanjawan negara, mengapakah semakin ramai seolah-olah ‘hilang kepercayaan’ terhadap pendidikan arus perdana hari ini?

Bangunan yang gah, lengkap peralatan dan kemudahan terkini, dilihat semakin hilang daya saing dengan institusi yang serba daif dari sudut prasarananya. Makmal sains, makmal komputer, dewan yang mempunyai penyaman udara, asrama yang lengkap, padang permainan dan lain-lain dilihat hilang daya penarik kepada rakyat Malaysia.

Begitu juga jika dibandingkan kebolehan guru. Latihan, kursus, seminar dan bengkel serta pelbagai jawatankuasa seolah-olah tersirna berbanding dengan guru muda yang tidak mendapat latihan formal sebagai seorang guru.

Apa yang lebih malang, ada golongan ibu bapa begitu berani apabila tidak menyediakan anak bagi menduduki peperiksaan am seperti UPSR, PT3, SPM, STPM dan STAM. Mereka tidak ‘hairan’ jika anak mereka tiada sijil-sijil kelulu-san tersebut.

Itu belum dikira pelajar di sekolah agama persendirian yang menduduki peperiksaan ‘O’ dan ‘A’ Level atau IGCSE atau peperiksaan lain. Bagi ibu bapa yang peka, mereka maklum tentang proses Bologna yang menyeragamkan syarat kemasukan universiti di Eropah lantas memilih sekolah-sekolah yang menggunakan sukatan Turki sebagai tempat anak-anak mereka menerima pendidikan.

Di manakah silapnya sistem pendidikan kita sehingga gagal menarik minat para ibu bapa menghantar anak-anak mereka? Apakah yang sebenarnya dikehendaki ibu bapa ini bagi masa depan anak-anak mereka? Proses menjadikan sekolah-sekolah agama rakyat dan sekolah-sekolah agama kerajaan negeri sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) juga telah dihentikan. Tidak sampai separuh jumlah sekolah-sekolah agama ini yang menerima konsep SABK ini.

Jika kerajaan benar-benar serius terhadap pendidikan agama atau benar-benar ingin menarik kembali kepercayaan masyarakat ke sekolah-sekolah kendalian kerajaan maka program J-Qaf hendaklah disambung semula. Program ini yang bertujuan mahu menangani masalah buta al-Quran dan fardu ain telah dihentikan secara tiba-tiba. Program J-Qaf hanya di peringkat sekolah rendah.

Bukan setakat dihentikan peruntukan Kem Amali Solat juga semakin mengecil. Dari kursus separuh hari bagi semua pelajar sekolah, kini ia dilaksanakan hanya di peringkat daerah dengan beberapa orang dipilih mewakili sekolah.

Oleh yang demikian, sebelum kita mengeji sekolah-sekolah tahfiz yang dikatakan serba daif, perhatian juga seharusnya diberikan kepada sekolah di aliran perdana yang semakin kehilangan posisi pendidikannya. Bila kebakaran dikatakan dari perbuatan khianat ia seperti meludah ke langit apabila terkait dengan sistem pendidikan kita.

* Penulis ialah Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Sejahtera Malaysia

Sumber: Sinar Harian


Google+ Followers