Wednesday, 4 October 2017

Perkhidmatan awam perlu berpegang 6 falsafah


PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan enam falsafah yang perlu dipegang oleh perkhidmatan awam menuju Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Enam falsafah itu adalah berkaitan kerangka Manhaj Maqasid Syariah, Tahun 2017 Sebagai Tahun Penyampaian, Prinsip Wala’ dan Kesetiaan, Budaya Kerja Di Luar Kelaziman, Revolusi Perindustrian Keempat dan Ekonomi Digital Menuju TN50 serta Par Excellence Duniawi dan Par Excellence Ukhrawi.

Ketika menyampaikan amanat kepada lebih 5,000 penjawat awam semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-15, di sini hari ini, beliau berkata untuk mara ke hadapan, dalam usaha membina ketamadunan yang lebih cerah lagi unggul, perkhidmatan awam tidak boleh sekadar bernostalgia atau hanya bergantung kepada prestasi hari semalam.

Katanya falsafah pertama adalah dipegang kepada kerangka Manhaj Maqasid Syariah yang mencorakkan pembentukan negara bangsa Malaysia dan untuk tempoh 30 tahun mendatang.

"Sepanjang tempoh enam dekad, perkhidmatan awam telah bergerak pada landasan yang sama seiring dengan kerajaan, sehingga Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara Islam progresif lagi dinamik bermanhajkan Maqasid Syariah, dan berpegang kepada prinsip Wasatiyyah, Perlembangaan Persekutuan dan Ideologi Kebangsaan yang kukuh serta kesinambungan gagasan-gagasan pucuk pimpinan kerajaan," katanya.

Tambahnya, manhaj Maqasid Syariah yang dipegang kerajaan menyasarkan kepada masalah umum iaitu mendatangkan kebaikan kepada rakyat dengan mengambil kira tahap kemampuan kebertanggungjawaban kerajaan mengikut tiga peringkat keutamaan.

Najib berkata tiga peringkat itu adalah dha-tu-riyat iaitu keperluan asas yang paling utama; ha-jiy-yat berkaitan dengan kehendak dan keperluan umum yang membawa kepada kelapangan hidup tetapi tidak terlalu mendesak; dan ketiga tah-si-niyat, penghias dalam memberi kesempurnaan hidup.

Katanya kesemua dasar, usaha dan pendekatan itu terbukti telah membuahkan hasil apabila laporan State of The Global Islamic Economy 2016/2017 oleh Thomson Reuters, meletakkan Malaysia di tangga pertama secara keseluruhan daripada senarai 73 buah negara di dunia.

Menurutnya, Malaysia turut diakui sebagai ekosistem terbaik di dunia yang dibangunkan bagi kewangan Islam, sekali gus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) negara ini dilaporkan mempunyai Pelan Penyimpanan Islam yang terbesar di dunia.

Di bawah falsafah tahun 2017 sebagai tahun penyampaian, Najib berkata perkhidmatan awam perlu mempunyai nilai kepada rakyat bagi memastikan segala projek, insiatif dan bantuan yang telah dirancang, benar-benar sampai kepada rakyat.

"Jika tidak, sia-sialah segala perancangan dan dasar yang digubal oleh kerajaan, termasuk pelbagai bajet yang telah diperuntukkan, namun dek kerana salah penyampaian, maka berlakulah ketirisan dan gagallah matlamat kerajaan," kata perdana menteri.

Najib berkata pengukuhan dan pemerkasaan perkhidmatan awam harus tertumpu kepada menjadikan perkhidmatan awam lebih fokus kepada rakyat dan inklusif, dengan penyertaan komuniti dan berbudaya kerja serta perkhidmatan kecemerlangan setanding dan mempunyai nilai-nilai murni yang membawa kepada keutuhan organisasi.

"Saya menyeru penjawat awam agar tidak bekerja dan terus terkongkong dalam 'silo' masing-masing atau mengamalkan 'pengurusan turf', yakni mengatakan itu hak kita, orang lain jangan campur tangan atau ambil kisah, sehingga boleh mengundang kerenah birokrasi yang menyukarkan rakyat," katanya.

Mengulas prinsip Wala' dan kesetiaan pula, katanya, ia adalah satu nilai yang sangat penting dalam kepimpinan dan organisasi.

"Pokoknya, jika prinsip dan nilai Wala’ serta kesetiaan ini menjadi amalan dalam perkhidmatan awam, barulah ada disiplin dan kelancaran dalam organisasi yang menunjangi kerajaan ini," kata perdana menteri.

Mengambil contoh karya agung ilmuwan besar Islam, Ibnu Khaldun, beliau berkata ia bukan sahaja menghuraikan tentang ketamadunan secara umum, tetapi turut mengupas kepentingan sifat kesetiaan sebagai pemacu kepada tadbir urus yang profesional.

Menghuraikannya, Najib berkata Ibnu Khaldun turut menyebut golongan yang memiliki nilai kesetiaan tinggi adalah mereka yang hingga sanggup berkorban nyawa dalam melunasi setiap amanah yang diberikan.

Mengenai budaya kerja di luar kelaziman demi keberhasilan yang luar biasa, katanya, ia termasuk meraikan idea-idea baharu dan sentiasa melakukan penambahbaikan demi mencapai keberhasilan, selain mempiawai diri serta meningkatkan kompetensi dan nilai tambah, agar tidak hanya sekadar menjadi jaguh kampung, tetapi menjadi pelaku global yang lebih sistematik dan berdaya maju.

"Kerajaan juga menyarankan penjawat awam terus melipatgandakan usaha dalam melatih diri menjadi orang yang boleh menjalankan pelbagai tugas, pelbagai kemahiran dan punya pelbagai bakat, berbudaya kreatif lagi berinovatif yang mampu menyumbang kepada budaya kerja produktiviti tinggi, bernilai tinggi, berfikiran tinggi, berkemahiran tinggi dan bermotivasi tinggiuntuk sentiasa bekerja keras bagi mencapai kejayaan untuk negara," katanya.

"Penjawat awam perlu berubah menjadi lebih efisien, menembusi sempadan tradisional melampaui pencapaiaan biasa dan paling penting kita harus sentiasa meningkatkan tahap dan terus mengekalkan ketinggian tahap untuk mencipta lebih banyak cerita-cerita kejayaan bagi Malaysia,” tegas perdana menteri.

Menjengah masa hadapan, Najib berkata falsafah kelima iaitu Revolusi Perindustrian Keempat dan Ekonomi Digital Menuju TN50 bakal menyaksikan 'perubahan struktur besar-besaran' dan membawa bersamanya teknologi bersifat disruptif dan cemerlang.

Najib berkata ketika itu negara bakal menikmati kebestarian kehidupan, merangkumi pelbagai bidang seperti tenaga pintar, mobiliti pintar, penjagaan kesihatan pintar, infrastruktur pintar, tadbir urus pintar dan warga yang pintar.

Sehubungan itu, katanya, telah timbul kebimbangan bahawa pelbagai sektor dan bidang pekerjaan tidak lagi wujud, sebaliknya diambil alih oleh teknologi terkini seperti kecerdasan buatan dan automasi.

Oleh itu, katanya, kerajaan mempunyai visi yang menjangkau jauh ke depan, mengambil serius akan perkembangan semasa dan berusaha melakukan langkah-langkah proaktif dalam menangani hal tersebut, dengan menceburi bidang 'Ekonomi Digital' yang dianggap sebagai industri masa depan.

"Di sinilah sebagai sebuah kerajaan kita perlu menggunakan teknologi digital untuk melonjakkan mutu penyampaian perkhidmatan," katanya.

Justeru, katanya bermula dari sekarang penjawat awam bukan lagi seperti lazimnya bekerja keras semata-mata, tetapi urusan kerja dapat dimangkinkan dengan hasil lonjakan yang berganda melalui penggunaan teknologi digital seperti membolehkan orang ramai memperbaharui lesen, cukai jalan, pasport, penggunaan sistem MyEG, sehinggalah laporan polis boleh dibuat secara dalam talian.

Najib berkata Falsafah dan Garis Besar Haluan keenam kepada perkhidmatan awam menuju TN50 adalah merekayasa Malaysia untuk menjadi negara maju yang mencapai pengertian Al-Falah, yakni Kecemerlangan SetandingDuniawi dan Kecemerlangan SetandingUkhrawi, sebagaimana yang diseru dalam al-Quran.

"Sesungguhnya lagi, tiada siapa yang tahu, apakah rupa bentuk dan wajah dunia amnya dan Malaysia khususnya, tatkala menyinsing fajar subuh tahun 2050 kelak.

"Akan tetapi, Allah SWT sukakan hamba-hambanya terus merancang masa depan, bekerja dan bertawakal, tanpa duduk bersimpuh dengan hanya berserah kepada keadaan serta nasib," katanya.

Daripada perspektif perkhidmatan awam, beliau menyeru semua penjawat awam supaya membuat persediaan rapi dan merencana strategi berkesan dari sekarang untuk menongkah beberapa fasa perubahan menuju TN50 seperti disasarkan.

Najib berkata pada 2020, Malaysia disasarkan menjadi ekonomi maju berpendapatan tinggi, nilaian ekonomi dan dagangan semasa menjadi RM2 trilion pada 2025; Revolusi Perindustrian Keempat mula memberikan impak yang signifikan pada 2030; negara kompetitif bersifat hampir 'kecacatan sifar' pada tahun 2040; dan sebuah ketamadunan unggul yang tersenarai dalam kelompok 20 negara termaju dan terbaik di dunia.

"Apa yang mustahak, generasi perkhidmatan awam yang ada kini dan akan datang perlu dicungkil bakat, diasuh serta diasah bukan sekadar dilengkapi dengan kemahiran duniawi, tetapi sewajibnya dibekalkan dengan nilai-nilai murni sejagat dan Islamik, supaya bila tiba tahun 2050 nanti, akan lahir Malaysia yang terimbang kemajuannya memenuhi tuntutan duniawi dan ukhrawi," jelasnya.

Pada majlis itu, perdana menteri turut melancarkan buku Falsafah Asas TN50 yang menurutnya bukanlah satu manual lengkap, tetapi falsafah asas yang terpandu dan terkumpul daripada siri-siri dialog TN50 sepanjang setahun lalu.

"Lantaran, saya mahu dari semasa ke semasa agar Falsafah TN50 terus subur, mekar berkembang, dibahas dan diwacana dengan dinamiknya, menjadi landasan arah tuju negara, sebagaimana gagasan 1Malaysia," kata Najib.

- Bernama


Google+ Followers