Wednesday, 4 October 2017

Penjawat awam perlu patuh dasar maklumat digital - Ali Hamsa

PUTRAJAYA - "Maklumat digital kerajaan yang diurus menggunakan medium siber perlu dikendalikan mengikut prosedur dan tatacara yang telah ditetapkan," kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata ini bagi mengelakkan sebarang kebocoran atau ketirisan maklumat yang boleh dimanipulasi dan dieksploitasi kumpulan tertentu untuk memburukkan kerajaan demi kepentingan sendiri.

"Maklumat kerajaan yang bocor juga sering diputarbelit oleh kumpulan ini, mengakibatkan penyebaran berita palsu dan tidak benar dalam kalangan rakyat.

"Sikap berhemah dan bertanggungjawab ketika menggunakan medium siber, saya kira adalah satu keperluan yang perlu dipraktikkan dan dibudayakan oleh semua penjawat awam," katanya ketika berucap melancarkan Program Kesedaran Keselamatan Siber Sektor Awam 2017 di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman.

Ali berkata penggunaan medium siber yang kini menjadi penggerak utama usaha membudayakan konsep "merakyatkan perkhidmatan awam" adalah untuk menjadikan penjawat awam lebih prihatin kepada keperluan rakyat dan sentiasa terbuka kepada maklum balas namun ia perlu disertai dengan sikap bertanggungjawab dan berhati-hati dalam menggunakannya.

Beliau berkata penjawat awam selaku golongan paling erat hubungannya dengan kerajaan perlu menjaga 'hubungan' tersebut dengan memastikan segala maklumat terpelihara daripada menjadi sasaran kumpulan tertentu di media sosial yang sentiasa mencari peluang memanipulasi sebarang isu untuk memburukkan kerajaan. - Bernama

Google+ Followers