Sunday, 22 October 2017

Martabatkan Bahasa Melayu di SJKC - Perdana Menteri

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) ditingkatkan untuk terus memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Perdana Menteri berkata, penguasaan dalam bahasa kebangsaan penting kerana ia merupakan medium komunikasi untuk mempromosikan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Kerajaan akan membina lebih banyak SJKC di seluruh negara jika ada permintaan dan kapasiti yang bersesuaian tetapi kita kena menggalakkan mereka (murid) di sekolah aliran ini menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa utama.

“Bahasa Melayu sangat penting kerana kita bertanggungjawab untuk mempromosikan perpaduan yang baik negara ini. Oleh itu, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan boleh membina lebih banyak SJKC tetapi kita perlu memberi perhatian dan menguasai bahasa Melayu dengan baik.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan telah berbincang mengenai isu ini (penambahan bilangan SJKC) de­ngan Presiden MCA (Datuk Seri Liow Tiong Lai) dan Gerakan (Datuk Seri Mah Siew Keong) bagi mencapai kata putus sebelum diumumkan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab mengenai pendirian kerajaan terhadap pembinaan lebih banyak SJKC pada masa akan datang dalam Sesi Townhall Persidangan Belia Cina Malaysia 2017 di Wisma Huazong, Seri Kembangan dekat sini hari ini.

Sebanyak 17 soalan dikemukakan oleh generasi muda berketurunan Cina dalam persidangan yang dihadiri kira-kira 1,000 orang itu meliputi pelbagai perkara termasuk pendidikan, kedudukan ekonomi negara, tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kos sara hidup dan infrastruktur.

Dalam perkembangan lain, Najib menegaskan, bilangan kakitangan awam di negara ini adalah munasabah dengan jumlah keseluruhan rakyat, justeru tiada perancangan atau keperluan untuk mengecilkan golongan tersebut atas alasan menjimatkan perbelanjaan negara.

Katanya, masyarakat harus bijak dalam membuat perbandingan me­ngenai perkara itu tanpa mengetepikan beberapa sektor awam seperti pendidikan, keselamatan dan kesihatan.

“Jika hendak membuat perban­dingan mengenai perkhidmatan awam, kita harus melakukannya secara adil kerana statistik sesete­ngah negara telah mengeluarkan beberapa bidang dan jawatan, tidak serupa dengan pendekatan yang dilaksanakan di Malaysia. Bidang pendidikan misalnya tidak berada di bawah perkhidmatan awam di beberapa negara tetapi guru-guru di Malaysia merupakan golongan yang memainkan peranan penting.

“Atas sebab itu, bilangan 450,000 guru ketika ini adalah re­levan dan tidak boleh dikurangkan kerana Malaysia mempunyai banyak sekolah pelbagai aliran seperti sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil, sekolah mubaligh dan lain-lain,” katanya.



Google+ Followers