Monday, 30 October 2017

Guru tergamam RM72,650 dalam akaun lesap

Tags

Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU - Seorang guru tergamam seketika apabila mendapati wang di dalam tiga akaun bank miliknya berjumlah RM72,650 lesap dipercayai dikeluarkan oleh sindiket penipuan, dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Gong Badak, Kuala Nerus, Khamis lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi, mangsa berusia 47 tahun yang ketika itu berada di sekolah menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan diri kononnya daripada ibu pejabat sebuah bank di Kuala Lumpur.

Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, individu tersebut memaklumkan kononnya pinjaman yang dimohon mangsa sebelum ini berjumlah RM30,000 sudah diluluskan.

“Individu terbabit memberitahu yang mangsa sebelum ini pernah membuat permohonan pinjaman di Kota Kinabalu, Sabah, bagaimanapun, mangsa menafikan sekeras-kerasnya yang dia pernah memohon pinjaman itu.

“Beberapa minit kemudian, panggilan itu disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kota Kinabalu sebelum mangsa bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai “Sarjan Suhairi’ dan memberitahu yang mangsa merupakan suspek utama dalam satu kes jenayah,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
loading...

Idris berkata, selain itu, individu tersebut turut mengarahkan agar memberikan nombor akaun bank sebelum mangsa tanpa berfikir panjang terus memberikan nombor akaun tiga buah bank miliknya disebabkan terlalu takut.

Katanya lagi, selepas menamatkan perbualan itu, kira-kira jam 1 petang hari sama, mangsa merasa tidak sedap hati sebelum mengambil keputusan pergi ke tiga buah itu untuk membuat semakan.

“Mangsa terkejut selepas mendapati berlaku pemindahan wang miliknya dipercayai dibuat secara talian tanpa pengetahuan dan kebenarannya.

“Yakin perbuatan itu daripada sindiket penipuan sebelum ini, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya selain ingin pihak bank membekukan ketig-tiga akaun bank miliknya,” katanya.

Jelasnya, kes berkenaan kini masih dalam siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sumber: Sinar Harian

Google+ Followers