Tuesday, 31 October 2017

ETA berjaya tingkat pencapaian Bahasa Inggeris pelajar

AMINUDDIN Adam bergambar bersama 
pembantu pengajar bahasa Inggeris (ETA)
yang juga penerima biasiswa Fulbright Amerika Syarikat
pada Majlis Perpisahan ETA di Putrajaya.
- Foto Berita Harian
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan meneruskan program pembantu pengajar Bahasa Inggeris (ETA) di negara ini pada tahun hadapan kerana terbukti berjaya meningkatkan tahap penguasaan bahasa berkenaan dalam kalangan pelajar.
loading...

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Operasi Pendidikan), Aminuddin Adam, berkata sejak diperkenalkan pada 2012, ETA yang berasaskan kegiatan dalam pembelajaran dapat menarik minat dan menambah keyakinan pelajar menggunakan Bahasa Inggeris, khususnya di kawasan pedalaman.

"Selepas dua tahun diperkenalkan, program ini banyak menunjukkan peningkatan kerana berjaya menarik minat pelajar untuk mendalami Bahasa Inggeris menerusi pelbagai kegiatan yang menyeronokkan.

"Program ETA ini juga memanfaatkan guru tempatan kerana mereka dapat terbabit sama dalam kegiatan disertai pelajar dan menjadi rakan kepada pelajar untuk membantu mereka menguasai Bahasa Inggeris," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perpisahan Tenaga Pengajar ETA, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Hal Ehwal Awam, Kedutan Amerika Syarikat di Malaysia, Bradley Hurst dan Pengarah Eksekutif, Suruhanjaya Malaysia - Amerika mengenai Pertukaran Pendidikan (MACEE), Dr James Coffman.

ETA dimulakan enam tahun lalu di lapan negeri bertujuan membantu menaik taraf pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah tempatan dan meningkat pengetahuan pelajar mengenai Amerika Syarikat.

Program membabitkan penempatan 100 penerima Biasiswa Fulbright sebagai tenaga pengajar itu ditadbir urus oleh MACEE dan disokong Kedutan Amerika Syarikat serta Kementerian Pendidikan.

Aminuddin berkata, setiap tenaga pengajar ETA akan ditempatkan selama tiga tahun di setiap kawasan terpilih dan mereka juga berpeluang merasai sendiri pengalaman hidup di bandar kecil atau kampung serta memupuk hubungan persefahaman antara budaya dengan masyarakat setempat.

"Walaupun ETA di sesetengah sekolah sudah tamat, kita berharap guru-guru berkenaan dapat meneruskan usaha ini bagi meningkat penguasaan Bahasa Inggeris pelajar dan seterusnya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

"Setakat ini, kerajaan belum lagi bercadang menambah jumlah ETA kerana ia tertakluk kepada skop kerjasama dan persefahaman ditetapkan MACEE," katanya.


Google+ Followers