Thursday, 26 October 2017

Dong Zong mahu UPSR dihapuskan segera

GABUNGAN Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) memohon Kementerian Pendidikan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan segera kerana ia hanya berorientasikan peperiksaan berpusat semata-mata.

"UPSR hanya menguji murid dari segi keputusan peperiksaan sepenuhnya tanpa mengambil kira kualiti murid daripada faktor lain. Dengan memansuhkan UPSR, semua pihak tidak akan memandang serius lagi ke atas markah dan keputusan peperiksaan.

"Selain itu, masalah bebanan beg sekolah yang masih banyak dibincangkan sejak akhir-akhir ini tidak akan timbul lagi," kata Jiao Zong dalam kenyataan disiarkan China Press.

Menurut kenyataan itu lagi, demi memperoleh keputusan cemerlang, murid hanya mengutamakan mata pelajaran penting dalam UPSR sehingga mengabaikan bidang pelajaran lain seperti muzik, seni lukis dan sukan.

Jiao Zong turut berharap, Kementerian Pendidikan dapat menyelesaikan masalah bebanan ditanggung oleh guru selama ini.

"Dengan memansuhkan UPSR, ia sudah tentu mampu mengurangkan kerja dan tanggungjawab yang begitu berat diberikan kepada guru ketika ini," kata kenyataan itu lagi.

Kesal tindakan Speaker

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua membidas tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menolak soalan berhubung pembayaran 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada International Petroleum Investment Co (IPIC).

Beliau dalam pertanyaan jawab lisan tersebut meminta Menteri Kewangan supaya menyatakan sama ada 1MDB telah membayar lebih AS$600 juta kepada IPIC pada Ogos 2017 dan sama ada Kementerian Kewangan membantu membiayai pembayaran itu.

“Saya menerima surat penolakan daripada Speaker yang mendakwa soalan itu kononnya tidak boleh dijawab atas alasan subjudis, memandangkan ia ‘perkara yang dalam pertimbangan mahkamah’,” katanya seperti disiarkan dalam Sin Chew Daily.

Menurutnya, rakyat Malaysia berhak tahu mengenai pembayaran tersebut jika benar Kementerian Kewangan ada membantu 1MDB menyelesaikan hutang berkenaan.

Google+ Followers