Wednesday, 25 October 2017

Didenda RM8000 gara-gara sebar video guru besar

Tags

SEREMBAN - Gara-gara menyebarkan video dan memuat naik status di laman Facebook guru besar cuba merasuah bapa pelajar, seorang penganggur terpaksa membayar denda RM8,000 di Mahkamah Sesyen Seremban pagi tadi.

Hakim, Fatiyah Idris menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamed Mustafa Shaikh Ismail,25, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah di dalam kamar.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara empat bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menyebarkan video dengan kenyataan guru besar Sekolah Kebangsaan Port Dickson cuba memberi rasuah kepada ayah pelajar yang telah dipukul oleh seorang guru sekolah itu di laman Facebook.

Perbuatan itu yang dilakukan pada 17 Julai 2017, jam lebih kurang 11.30 malam, dengan niat untuk menyakitkan hati dan menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sabit kesalahan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: Sinar Harian


Google+ Followers