Tuesday, 3 October 2017

Buang sekolah tidak selesai masalah disiplin pelajar - KPWKM

Tags


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mencadangkan agar tindakan 'buang sekolah' yang dikenakan terhadap pelajar bermasalah di negara ini dikaji semula.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan berhubung perkara ini kerana tindakan tersebut tidak akan menyelesaikan masalah berhubung pelajar terbabit.

"Apabila mereka dibuang sekolah, tiada sesiapa yang akan bertanggungjawab terhadap mereka selepas itu.

"Justeru, mereka akan menjadi lebih terbiar, tidak terbimbing hingga terbabit dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sesuai termasuk gejala sosial," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kaunseling Kebangsaan 2017 di kementerian tersebut di sini.

Kerana itu, katanya, pihaknya mencadangkan agar perkara ini ditangani dengan kaedah yang lain.

"Bukan dibuang sekolah, sebaliknya diletakkan dalam kelas khas peralihan.

"Di sini pemantauan lebih ketat dapat dilakukan manakala pihak kita (KPWKM) boleh membantu dengan menyediakan kaunselor untuk membantu pelajar-pelajar ini," katanya lagi.

Katanya, cadangan ini telah pun dibawa ke dalam mesyuarat kabinet pada Rabu lalu dan kabinet telah mengarahkan pasukan petugas khas dibentuk untuk menangani isu ini.

"Semua kementerian telah diarahkan untuk melaksanakan program intervensi agar isu sosial melibatkan remaja dapat ditangani," tambahnya.

Setiap individu di Malaysia diwajibkan untuk memperoleh pendidikan selama enam tahun, manakala pendidikan asas yang disediakan adalah selama 12 tahun.

Sumber: Astro Awani


Google+ Followers