Friday, 6 October 2017

Bapa rantai anak kerana ponteng sekolah

Tags

KEADAAN seorang kanak-kanak yang dirantai pada tong gas
oleh bapanya di sebuah rumah di Indera Mahkota
di Kuantan, Pahang semalam. - UTUSAN/Media sosial
KUANTAN 6 Okt. - Seorang bapa sanggup bertindak di luar batas kemanusiaan dengan merantai anaknya berusia 10 tahun pada tong gas di sebuah rumah di Indera Mahkota di sini, dipercayai kerana tidak tahan dengan kedegilan anaknya yang tidak mahu ke sekolah.

Perbuatan bapa berusia 35 tahun itu terbongkar selepas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) melakukan pemeriksaan di rumah tersebut setelah menerima maklumat awam kira-kira pukul 10 pagi semalam.
KANAK-KANAK berusia 10 tahun mengalami kecederaan selepas
didera oleh bapanya dengan diikat menggunakan rantai
pada tong gas di kediamanya di Indera Mahkota. - Foto ihsan PDRM

Foto via PDRM

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, pemeriksaan dilakukan polis menemukan seorang kanak-kanak berada dalam keadaan leher dirantai pada tong gas.

Katanya, polis memecah masuk ke dalam rumah itu dan cuba mengejutkan mangsa namun kanak-kanak tersebut didapati tidak sedarkan diri.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Abdul Aziz, bapa kanak-kanak itu ditahan reman selama seminggu di Lokap Balai Polis Kuantan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016.

Katanya, isteri suspek berusia 30 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Difahamkan, mangsa yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik bersekolah di sebuah sekolah di sini dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Sumber - UTUSAN ONLINE


Google+ Followers