Tuesday, 3 October 2017

Apa itu Jawatan Kumpulan (Pool) Untuk Guru?

Bersandarkan kepada SURAT PEKELILING PERKHIDMATAN KPM BIL.2 TAHUN 2009 Jawatan Kumpulan atau lebih sinonimnya dengan gelaran POOL ditafsirkan sebagai:

Satu jawatan yang diwujudkan bagi menampung keperluan perkhidmatan anggota sementara menunggu penempatan yang sesuai.

Apa tujuan ASAL Jawatan Kumpulan (Pool) ini?

Ianya diwujudkan bagi membolehkan seseorang pegawai yang menghadapi masalah kesihatan terus mendapat rawatan atau memperolehi cuti sakit yang panjang dan sekolah akan mendapat ganti guru lain serta proses pengajaran dan pembelajaran sesebuah sekolah/jabatan terus berjalan dengan lancar tanpa gangguan.

Apa kriteria-kriteria untuk guru diletakkan di jawatan pool ini?

1. Pegawai Yang Menghadapi Masalah Kesihatan

  • Pegawai yang mengalami sakit berpanjangan melebihi 6 bulan dan sukar sembuh dalam masa terdekat dan mendapat sijil sakit daripada Pegawai Perubatan Kerajaan selama 180 hari atau lebih;
  • Pegawai yang menghidap Sakit Tibi, Kusta atau Barah dan Penyakit Lain yang setaraf dan mendapat sijil sakit daripada Pegawai Perubatan Kerajaan selama 180 hari atau lebih;

2. Pegawai Yang Menghadapi Sakit Mental

  • Pegawai yang menghadapi masalah sakit mental yang menyebabkan kehadiran mereka mendatangkan masalah kepada sekolah / jabatan. Walau bagaimanapun, mereka hendaklah terlebih dahulu disahkan menghidap sakit berkenaan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan.

3. Pegawai Yang Telah Diluluskan Cuti Tanpa Gaji

  • Pegawai yang telah diluluskan cuti tanpa gaji mengikut pasangan bertugas/berkursus di dalam atau di luar negara mengikut Pekelilling Perkhidmatan Bil. 14 Tahun 2005 selama setahun atau lebih;
  • Pegawai yang telah diluluskan cuti tanpa gaji menjaga anak mengikut Pekelilling Perkhidmatan Bil. 15 Tahun 2007 selama setahun hingga maksima 5 tahun (1,825 hari);
  • Pegawai yang telah diluluskan cuti tanpa gaji atas urusan persendirian mengikut Perintah Am Bab C dan PP Bil 9 Tahun 1991 selama setahun (360 hari) secara berterusan;

4. Pegawai Yang Berprestasi Rendah

  • Pegawai yang berprestasi rendah berdasarkan markah LNPT kurang daripada 60% selama dua (2) tahun berturut-turut dan tidak sesuai diambil tindakan tatatertib berasaskan latar belakangnya;
  • Pegawai boleh diambil tindakan untuk dibersarakan demi kepentingan Perkhidmatan Awam.

5. Pegawai Yang Telah Disyaki Melakukan Kesalahan Jenayah

  • Pegawai yang disyaki telah melakukan sesuatu kesalahan jenayah seperti rogol, mencuri, berkhalwat, terlibat dalam rasuah dan sebagainya ;
  • Pegawai yang sedang disiasat atau didakwa oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

6. Pegawai Yang Perlu Ditempatkan Ke Jawatan Kumpulan Atas Kepentingan Perkhidmatan

  • Pegawai yang pendapat Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) perlu ditempatkan ke jawatan kumpulan kerana sesuatu kepentingan perkhidmatan ;
  • Contoh : Pegawai Kaunselor di PPD, Pegawai Khas Menteri dan sebagainya.

Muat turun prosedur pertukaran pegawai keluar daripada Jawatan Kumpulan (Pool) .

Sumber: SURAT PEKELILING PERKHIDMATAN KPM BIL.2 TAHUN 2009



Google+ Followers