Thursday, 19 October 2017

10 perkara guru mahu beritahu kepada yang 'bukan guru'

Tags


Profesion perguruan sering dipandang sebelah mata oleh segelintir pihak. Malah ada yang berpendapat ianya satu kerja mudah dan tiada keperluan istimewa patut diberikan kepada golongan ini. Berikut adalah beberapa stereotaip serta pandangan masyarakat terhadap guru yang sangat menjengkelkan golongan pendidik dan juga penafian daripada guru itu sendiri.

1. Saya tidak 'bermain' bersama kanak-kanak sepanjang hari.

Berbeza dengan pandangan popular segelintir umat diluar sana, guru tidak selalu 'bermain' dan 'bergembira' dengan murid. Dengan bebanan kerja pengkeranian, ujian dan peperiksaan, mesyuarat, pemantauan dan pencerapan, guru sendiri kadang-kadang terlepas pandang untuk mengajarkan muridnya erti kehidupan. Apabila tiba masa bermain secara 'indoor', guru secara automatik bertukar menjadi sekuriti mengawal perlakuan pelajarnya. Jika guru tadika dianggap sentiasa bermain dengan muridnya, ianya adalah latihan kawalan motor, pemikiran kritis ataupun KBAT. Penyudahnya, bila yang guru itu sentiasa 'bermain'?

2. Waktu kerja saya tidak tamat pada pukul 1 atau 2 petang selepas murid pulang.

Masyarakat yang bekerja 9 hingga 5 petang sering berfikir waktu kerja guru sangat pendek. Mereka berpendapat waktu kerja guru adalah sama dengan tempoh pembelajaran murid. SALAH! Ketika loceng balik berbunyi, itulah separuh masa kedua untuk guru bermula untuk merancang apa yang akan berlaku pada keesokan hari. Itu belum kira mesyuarat yang sering diadakan pada waktu-waltu sebegini.

3. Cuti panjang sekolah tidak seindah yang digambarkan

Ok, ini yang menjadi pertikaian segelintir pihak malah termasuklah golongan cendiakawan dan pemberita di akhbar. Cuti sekolah bukan bermaksud cuti rehat kepada guru. Guru-guru masih layak dipanggil bertugas ketika cuti sekolah. Itu belum dikira guru-guru yang bertugas dan melaksanakan kelas-kelas tambahan untuk peperiksaan. Ada juga yang menanda kertas peperiksaan ketika cuti sekolah. Cuti rehat yang diperuntukan kepada guru hanyalah 7 hari!

4. Hujung minggu saya juga jarang tidak dipenuhi dengan aktiviti sekolah
Sama juga dengan cuti sekolah yang panjang, hujung minggu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti-aktiviti di sekolah. Malah ada yang menawarkan diri secara sukarela untuk berada di sekolah untuk aktiviti-aktiviti tertentu.

5. Saya tidak hidup dengan 'duit cukai rakyat' semata-mata

Ketika guru mengeluh atau memberi cadangan kepada kerajaan untuk kebajikan mereka dipelihara, ada segelintir masyarakat yang memandang sinis perkara ini. Malah ada yang membuat kenyataan cukai yang mereka bayar sudah cukup untuk menanggung segalah kebajikan yang sedia ada. Hello! Guru juga bayar cukai, malah 1/4 gaji guru digunakan untuk membeli peralatan sekolah. Ada ke yang pernah lihat doktor guna duit gaji sendiri beli picagari nak suntik pesakit?

6. Guru bukan profesion pilihan terakhir

Inilah ayat yang sering didedangkan oleh segelintir pihak. Memang kita akui, 20 tahun yang lalu, menjadi guru seolah-olah menjadi pilihan terakhir, malah kelayakan untuk menjadi guru tidaklah sukar. Namun begitu, langkah kerajaan untuk memartabatkan profession amatlah dihargai. Untuk menjadi guru sekarang bukan lagi mudah, malah perlu cemerlang di dalam SPM serta kursusnya bukan lagi sekadar kursus-kursus biasa tetapi melahirkan insan-insan yang benar-benar bersedia menghadapi pelbagai kerenah pelajar masa kini.

7. Kerja saya bukan sekadar berdiri di hadapan kelas dan membaca daripada buku

Kalau inilah yang dianggap sebagai kerja seorang guru, anda pastinya tidak memberi perhatian atau bermain ketika di zaman persekolahan ataupun anda lahir di planet lain.

8. Saya bukan pengasuh ataupun penjaga rumah asuhan

Bukan lah untuk merendah-rendahkan profession pengasuh di rumah asuhan, tetapi menjadi kanak-kanak memang satu cabaran. Tetapi, ya memang mengejutkan apabila ianya termasuk juga di dalam satu cabang tugas seorang guru! Pengurusan kelas, sikap dan disipilin pelajar adalah salah satu penyumbang kepada masalah tekanan kerja seorang guru. Guru adalah seorang pendidik yang profesional. Tugas hakikinya adalah mendidik pelajar menjadi seorang yang berguna pada masa hadapan. Mengasuh juga tiba-tiba menjadi perkara yang terpaksa dilakukan oleh seorang guru setiap hari...

9. Mengajar bukan sekadar kerja, tetapi ianya kehidupan saya.

Jika ada yang membaca poin 1 hingga 8 masih tidak dapat menerima alasan-alasan tersebut, anda patut bacannya semula. Atau mungkin perlu cuba menjadi seorang guru cukuplah untuk sebulan. Guru jarang mendapat peluang untuk tinggalkan kerjanya di sekolah sebagai mana pekerja-pekerja pejabat yang lain. Seringkali kerja-kerja di sekolah diangkut balik untuk diselesaikan. Memang ada yang cuba berbuat sedemikian, tetapi kebanyakannya tidak begitu. Kehidupan sosial seorang guru, kebanyakannya bergantung bagaimana sekolahnya berfungsi.

10. Mengajar tidak semudah seperti di dalam filem atau rancangan tv

Kita sering dihidangkan dengan rancangan-rancangan tv, drama dan filem yang memaparkan bagaimana situasi di sekolah, kelas yang menyeronokkan. Malah Hollywood sendiri memaparkan menjadi guru itu satu perkara yang menyeronokkan dengan bermain, bersantai bersama murid dan perkara-perkara yang sering menjadi impian setiap guru. KENYATAANNYA? Ianya sekadar angan-angan dan fantasi seorang pengarah. Apa yang berlaku sebenarnya di sebalik tabir hanya guru yang mengetahuinya...


Google+ Followers