Tuesday, 12 September 2017

Sistem Pendidikan M'sia tidak latih rakyat hadapi era ekonomi digital

Tags

Imej via Free Malaysia Today
KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan negara tidak melatih rakyat bersiap sedia menghadapi kebangkitan era ekonomi digital yang mungkin menggantikan pekerjaan tradisional, kata Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan Asean, Tan Sri Munir Majid.

Beliau bimbang mesin dan robot akan menggantikan pekerja tidak berkemahiran dan berkemahiran kerana sistem pendidikan negara tidak melatih rakyat Malaysia bersiap sedia untuk menghadapinya.

Edgemarkets.com memetik Munis sebagai berkata, dalam era ekonomi digital, robot atau sistem komputer pintar boleh menggantikan pekerja tidak berkemahiran, separa mahir dan mahir.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengkaji bagaimana pendigitan memberi kesan kepada sistem ekonomi dan sosioekonomi.

“Jika kita tidak melakukannya, maka kita sedang duduk di atas bom jangka sosioekonomi yang boleh meletup apabila rakyat kehilangan pekerjaan.”

Beliau berkata sedemikian mengenai harapannya terhadap Bajet 2018 di luar Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2017 dan Persidangan Perniagaan Selangor-Asean, semalam.

“Saya tahu Malaysia mahu memanfaatkan teknologi digital. Ia adalah teknologi baharu yang boleh melakukan pekerjaan lama. Adakah kemahiran pekerja dipertingkatkan? Adakah kita mempunyai cara untuk meningkatkan kemahiran mereka?

“Saya bimbang sama ada kita bersedia untuk ekonomi digital. Sistem pendidikan kita tidak sesuai dengan tujuan sebuah ekonomi digital. Kita tidak mendidik orang muda dan dewasa tentang keperluan ekonomi digital,” katanya dipetik Edgemarkets.com.

Pengerusi Bank Muamalat itu menyeru kerajaan menggalakkan pembelajaran kognitif.

“Sistem pendidikan ambil masa bertahun lama untuk diubah. Perlu ada insentif untuk meningkatkan skala pekerja dan untuk mereka belajar teknologi baharu bagi mengelakkan mereka hilang pekerjaan,” katanya.

Minggu lepas, beliau menyuarakan kebimbangan sama apabila bercakap tentang ekonomi digital dan bagaimana ia memberi kesan kepada negara Asean.

Beliau berkata, membaik pulih sistem pendidikan memerlukan masa.

Beliau dalam segmen komen The Star berkata: “Cabaran ekonomi digital yang dihadapi Asean sangat besar. Ia adalah perintis perubahan yang gagal ditangani rancangan intergrasi Asean sejak awal lagi. Ia adalah revolusi hebat yang tidak dapat ditangani Asean yang bersikap acuh tak acuh.”

Sumber: Free Malaysia Today


Google+ Followers