Sunday, 17 September 2017

Sarawak jadi contoh tangani sekolah kurang murid (SKM) - KPM

Imej via Utusan Malaysia
KUCHING 16 Sept. – Kementerian Pendidikan akan mengambil contoh tindakan diambil kerajaan negeri dalam menangani soal Sekolah Kurang Murid (SKM) di ne­geri ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, tindakan itu akan diambil di samping melihat sejauh mana pendekatan di sini dapat membantu SKM di seluruh negara.

“Kerajaan Sarawak me­lakukan makmal berkaitan dan mereka melihat sama ada soal penggabu­ngan dan sebagai­nya. Bagaimanapun, apa yang pa­ling penting adalah tindakan engagement dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan pandangan dan persetujuan dalam langkah yang akan diambil nanti,” kata beliau.

Khair berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Jelajah Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berlangsung selama dua hari di Plaza Merdeka hari ini.

Advertisement

Powered By YuMe
Jelajah Pendidikan KPM yang memasuki lokasi kesembilan itu diadakan bagi memastikan masyarakat mendapat perkhidmatan secara terus dan memperolehi maklumat terkini mengenai pendidikan.

Sebelum itu, Khair turut memberi­tahu, ke­men­terian dan Jabatan Ke­ma­­juan Islam Malaysia (Jakim) belum memutuskan berhubung soal pendaftaran sekolah aliran agama persendirian termasuk maahad tahfiz.

Jelasnya, perbincangan itu bagi melihat sama ada akan menyelaraskan pendaftaran sekolah ber­kenaan di bawah satu kementerian atau mengekalkan kaedah sama yang diguna pakai hari ini.

“Ketika ini sekolah agama dan maahad di bawah bidang kuasa negeri atau lebih tepatnya Majlis Agama Islam ne­geri namun ada juga cadangan untuk mendaf­tarkan semua sekolah terbabit di bawah Kementerian Pendidikan.

“Perkara itu sedang dibincangkan dengan Jakim, namun belum ada keputusan muktamad dicapai mengenainya,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas me­ngenai isu keselamatan asrama, Khair berkata, tumpuan pihak­nya bukan sahaja kepada sekolah agama atau mahaad tahfiz tetapi semua sekolah di seluruh negara.

Sumber: Utusan Online


Google+ Followers