Saturday, 30 September 2017

NUTP setuju guru rotan pelajar

Imej via Free Malaysia Today
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan meneliti memberi semula kuasa merotan kepada guru.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock, berkata cadangan itu baik dalam usaha mengurangkan masalah disiplin, salah laku dan jenayah dalam kalangan pelajar.

"NUTP juga ingin mencadangkan kementerian menyediakan prosedur operasi standard (SOP) mendenda pelajar untuk dijadikan sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi kesalahan seperti gagal menyiapkan tugasan yang diberikan.

"Antara tindakan yang boleh diambil seperti berdiri di hadapan kelas, berlari satu pusingan di padang atau gelanggang sukan, memegang telinga secara silang tangan dan menulis perkataan baik berulang kali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan berkata, kementeriannya sedang meneliti untuk memberi semula kuasa merotan kepada guru dalam usaha menangani masalah sosial pelajar.

Katanya, perbincangan lanjut perlu dilakukan kerana terdapat beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan segelintir masyarakat yang mahu guru menggunakan kaedah selain rotan bagi tujuan mendidik.


Google+ Followers