Saturday, 9 September 2017

Jangan jejas emosi calon UPSR - NUTP

Imej via Berita Harian Online
KUALA LUMPUR: Calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang tidak hadir atau terlewat memasuki dewan akan memberi kesan kepada Gred Purata Sekolah (GPS) dan kelancaran peperiksaan.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengingatkan, pentadbiran sekolah perlu memastikan setiap calon memasuki dewan 15 minit sebelum peperiksaan bermula.

Presidennya, Kamarozaman Abd Razak, berkata lebih baik jika calon dapat datang awal ke sekolah bagi mengelakkan sebarang masalah sepanjang peperiksaan dijalankan.

"Kegagalan menghadirkan diri boleh memberi kesan kepada GPS," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Muat Turun : Jadual Waktu UPSR 2017

Peperiksaan UPSR 2017 dijadual bermula 11 hingga 18 September ini membabitkan 443,794 calon.

Kamarozaman berkata, kerjasama ibu bapa juga penting bagi membantu sekolah mengesan calon yang tidak hadir akibat kes kecemasan seperti kemalangan atau masalah kesihatan.

Beliau berkata, ibu bapa perlu memaklumkan kepada sekolah dengan segera jika ada kes kecemasan.

"Kelewatan atau kegagalan berbuat demikian akan menganggu prosedur di dewan peperiksaan," katanya.

Kamarozaman berkata, ibu bapa juga mesti memastikan anak-anak datang awal ke sekolah kerana kelewatan memasuki dewan boleh menjejaskan emosi calon.

Beliau berkata, calon sendiri juga perlu bijak mengawal emosi supaya tidak mengalami tekanan semasa menjawab soalan.

Google+ Followers