Wednesday, 20 September 2017

Isu sekolah tahfiz, 6 syor dikemukan - Zahid

Imej via Utusan Malaysia
PUTRAJAYA 19 Sept. - Jawatankuasa Peringkat Ter­tinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-sekolah Tahfiz hari ini mengeluarkan beberapa syor berkaitan isu sekolah tahfiz yang akan dibentangkan untuk perhatian Kabinet esok.

Jawatankuasa itu antara lain mengesyorkan pindaan ke atas Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) bagi membolehkan pendaftaran institusi pendidikan Islam swasta termasuk sekolah tahfiz tertakluk kepada akta berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Da­tuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu adalah bagi memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyelaras dari segi pentadbiran dan bantuan kewangan terhadap sekolah-sekolah tersebut.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan bertemu dengan kerajaan negeri bagi memaklumkan syor dan mendapatkan persetujuan pindaan akta memandangkan pengurusan sekolah berkenaan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Syor ini juga akan dibawa dan dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam petang ini yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jika dipersetujui, cadangan ini akan dibentangkan pula pada mesyuarat Kabinet esok. Jika perlu dipinda, ia akan dibawa ke Dewan Rakyat untuk diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas mem­pengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-sekolah Tahfiz di sini.

Selain itu, Ahmad Zahid ber­kata, jawatankuasa berkenaan ju­ga mengesyorkan agar di­wu­jud­kan kerangka kriteria kelulusan bagi pembentukan dan pengurusan maahad tahfiz seluruh negara dengan spesifikasi piawaian oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta agensi-agensi penguat kuasa.

Katanya, jawatankuasa ter­sebut turut mengesyorkan pia­waian minimum terhadap setiap premis maahad tahfiz, rumah anak yatim, sekolah agama, ta­dika, pusat penjagaan kanak-ka­nak dan orang tua.

“Kita juga akan menggalakkan penubuhan bomba sukarela di pre­mis-premis tadi selain men­yelaraskan pendaftaran maahad tahfiz antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan. Ini supaya tidak timbul soal prasangka peng­ambilan dan pertindihan kuasa antara kedua-kedua pihak,” kata­nya.

“Kita juga mengesyorkan supa­ya penubuhan bomba sukarela di setiap premis terbabit. Begitu juga cadangan kempen kesedaran secara besar-besaran.

Kempen kesedaran secara be­sar-besaran turut dicadang dilak­sanakan dan dikendalikan Institut Keselamatan dan Kesihatan Peker­jaan Negara (NIOSH) bersama bom­ba dan pihak berkuasa tem­patan,” katanya.

Menurutnya, terdapat 941 maa­had tahfiz swasta dengan kese­luruhan 150,000 pelajar berdaftar dengan Persatuan Mad­rasah Tahfiz Malaysia ketika ini.

“Daripada jumlah itu, yang ber­­daftar dengan pihak berkuasa negeri dan Kementerian Pendi­di­kan cuma 612 buah.

“Ini bermakna 329 maahad tahfiz tidak berdaftar atas alasan khuatir kononnya kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan mahu ambil alih (pusat) tahfiz mereka,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat tu­rut bersetuju menubuhkan Ja­watankuasa Penyelarasan Bersifat Kekal bagi memantau pengurusan sekolah agama rakyat, maahad tahfiz dan pondok agama di se­luruh negara.

Sumber: Utusan Online


Google+ Followers