Wednesday, 6 September 2017

Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong adalah Hari Kelepasan Am Berbayar


Kerajaan Persekutuan telah mengisytiharkan bahawa hari Sabtu, 9 September 2017 sebagai Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V bagi tahun 2017 yang dipinda daripada hari Sabtu, 29 Julai 2017.

Ulang Tahun Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV ini adalah termaktub sebagai hari kelepasan am berbayar yang wajib diberi kepada pekerja di seluruh negara. Ini termaktub dalam seksyen 60D(1)(a) Akta Kerja 1955, seksyen 103(1)(a) Ordinan Buruh (Sabah Bab 67); dan seksyen 104(1)(a) Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).

Justeru, sekiranya Ulang Tahun Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong XV ini jatuh pada hari cuti rehat, maka hari bekerja berikutnya hendaklah menjadi hari kelepasan am berbayar sebagai ganti bagi hari kelepasan am tersebut. Bagi pekerja yang mempunyai cuti rehat lebih daripada sehari, hari terakhir bagi cuti rehat tersebut merupakan “cuti rehat” bagi maksud ini.


Google+ Followers