Thursday, 7 September 2017

Calon peperiksaan jangan doa semata-mata, perlu usaha - Mufti Perlis

Imej via The Malaymail Online
KANGAR: Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menasihatkan calon-calon yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi tidak bergantung kepada doa semata-mata tetapi hendaklah rajin belajar dan mengulang kaji pelajaran untuk lulus dengan cemerlang.

Katanya calon-calon sewajarnya berusaha keras membuat persiapan dan selepas itu barulah memohon doa kepada Allah SWT.
Mufti itu memberi nasihat tersebut pada majlis ceramah mingguannya di Masjid Alwi di sini malam tadi apabila seorang jemaah meminta beliau membacakan doa agar anaknya mudah menjawab soalan dan lulus dengan cemerlang peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) minggu depan.

Mohd Asri bagaimanapun tidak menghampakan hajat jemaah tersebut lalu membaca doa agar semua calon UPSR lulus dengan cemerlang.

"Selepas berusaha dan berdoa namun tidak berjaya, pelajar dan ibu bapa tidak harus kecewa kerana kejayaan menanti orang-orang yang rajin berusaha," kata Mohd Asri.

Beliau memberi contoh beberapa rakan sekolahnya yang kurang berjaya dalam bidang pendidikan kini hidup senang melalui rezeki halal kerana mereka terus bekerja keras.

- BERNAMA

Google+ Followers