Thursday, 24 August 2017

Perak ungguli kategori Forum Remaja, Sajak dan Sahibba Koakademik Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Tiga sekolah dari Perak mengungguli kategori Forum Remaja, Sajak dan Sahibba (Sekolah Rendah) pada Pertandingan Koakademik Bahasa Melayu peringkat Kebangsaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) - Kementerian Pendidikan Malaysia 2017, di sini hari ini.

Sekolah Menengah (SM) Sains Bagan Datoh, Perak dinobatkan sebagai johan kategori Forum Remaja, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Sagor, Muhammad Airil Fitri Jalalluddin (sajak) dan murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Manjung, Sarah Najwa Mohd Shaharudin (sahibba).

Tempat kedua, ketiga dan keempat kategori Forum Remaja masing-masing dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, Pulau Pinang; SMK Agama Sultan Muhammad, Melaka dan SMK Sadong Hilir, Sarawak.

Bagi kategori Deklamasi Puisi (Sajak), tempat kedua dimenangi oleh pelajar SMK Tinggi Segamat, Johor, Nur Atirah Sofiya Mohd Nordin dan pelajar Maktab Sultan Ismail, Kelantan, Ahmad Amer Hakimi Saharuddin (tempat ketiga).

Pemenang tempat kedua, ketiga dan keempat kategori Sahibba Sekolah Rendah, masing-masing murid dari SK Seksyen 9, Kota Damansara, Selangor, Delima Humaira Ahmad Tarmizi; Muhammad Naufal Hariez Abu Hassan (SK Kerubong, Melaka) dan Mohd Sharizal Voo Jen Koh (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Choi, Sabah).

Kategori Deklamasi Puisi (Syair) pula dimenangi oleh pelajar SMK Agama Sheikh Haji Mohd Said, Negeri Sembilan, Muhammad Affan Mazlan, tempat kedua ialah Nur Adnin Roslan (SMK Sayong, Perak) dan tempat ketiga oleh Amira Badriyah Azaha (SMK Agama Maahad Muar, Johor).

Pelajar SM Sains Perempuan Seremban 1, Negeri Sembilan muncul juara bagi kategori Sahibba (Sekolah Menengah), diikuti pesaingnya, Mohammad Akmal Faramzsyam Syah Abdullah dari SMK Terusan, Sabah (tempat kedua), Dhania Hani Mohd Fadzil dari SMK Bandar Tenggara 2, Johor (tempat ketiga) dan Muhammad Fikri Sharunazim dari SM Sains Muzaffar Syah, Melaka (tempat keempat).

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanathan.

Yang turut hadir ialah, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas.

Kamalanathan berkata, pertandingan koakademik dilihat mampu menggalakkan golongan pelajar meningkatkan penguasaan dan kemahiran mereka dalam bahasa Melayu serta meningkatkan keyakinan pelajar untuk berkomunikasi dengan mantap dalam bahasa kebangsaan.

Katanya, pelajar boleh mengaplikasi pengetahuan melalui pelbagai kosa kata yang dikuasai mereka untuk membantu dalam penulisan kreatif dan pembelajaran akademik masing-masing.

"Dengan usaha ini, diharapkan seluruh rakyat di negara dapat bersama-sama memartabatkan bahasa kebangsaan selaras dengan semangat 1Malaysia," katanya.

Sumber: Berita Harian


Google+ Followers