Wednesday, 23 August 2017

Mangsa buli saman sekolah, KPM, Kerajaan Malaysia

Tags

Foto hiasan via Lorraine Galea
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar kurang upaya sekolah pendidikan khas yang diikat kaki di katil dan ditumbuk rakan sekolah ketika tidur, diludah serta dikasari manakala pakaiannya dicuri, menyaman sekolah dan tiga yang lain kerana mendakwa tidak diberikan pendidikan khusus.

Pelajar lelaki berusia 19 tahun itu yang memfailkan saman melalui ibu angkatnya, bertindak selaku plaintif pertama manakala ibu angkatnya dinamakan selaku defendan kedua.

Melalui saman difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 26 Mei lalu, kedua-dua plaintif menamakan pihak sekolah, pengetua, Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dalam prosiding di kamar hakim hari ini, kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes itu secara baik.

Sehubungan itu, Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad menetapkan pada 6 Oktober depan bagi pengurusan kes.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan, plaintif berkata, plaintif pertama yang didiagnosis mempunyai 'Attention Deficit Hyperactive Disorder' (ADHD) sejak berusia empat tahun, turut mempunyai masalah di kaki kiri yang menyebabkannya sukar untuk duduk di atas lantai seperti pelajar lain.

Mereka berkata, plaintif pertama didaftarkan di sekolah menengah pendidikan khas pada awal 2016 dan ditempatkan di asrama penuh sekolah terbabit.

Sebelum itu, beliau seorang pelajar di sekolah menengah biasa dan tahap pendidikannya hanya di tahap tadika.

Menurut mereka lagi, di sekolah baharu, plaintif pertama dimasukkan ke dalam kelas mengikut budi bicara sekolah, pengetua dan kementerian tanpa pemeriksaan sesuai, saringan khusus dan tanpa sebarang langkah mengenal pasti secara secara spesifik masalah pembelajarannya.

Seterusnya plaintif berkata, sekolah itu tidak mempunyai kemudahan dan sistem untuk mengkategorikan setiap pelajar mengikut tahap ketidakupayaan atau masalah pembelajaran, sebaliknya semua pelajar autisme dilabelkan secara am iaitu mempunyai masalah pembelajaran.

Kata plaintif lagi, defendan tidak menyediakan sistem pelajaran yang sesuai dan spesifik kepada masalah pembelajaran kanak-kanak istimewa selain tidak melaksanakan sistem pendidikan khas yang berstruktur.

Menurut plaintif, pada jam 10 malam, 17 Mei 2016, seorang pelajar istimewa datang ke bilik asrama plaintif pertama dan mengikat kakinya di katil dan seterusnya menumbuknya di bahu kiri.

Ibu angkatnya hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas diberitahu plaintif pertama walaupun warden tahu mengenai kejadian itu.

Dalam kejadian lain, plaintif mendakwa, plaintif pertama turut diludah di kepala oleh pelajar lain ketika bersolat di surau asrama dan ditendang serta ditumbuk dari belakang.

Barang-barang keperluan plaintif pertama seperti baju sukan turut dicuri bagaimanapun pihak sekolah tidak mengambil apa-apa tindakan.

Dakwa plaintif lagi, plaintif pertama berkali-kali diganggu dan didera secara mental oleh pelajar lain, selain dipanggil dengan kata-kata kesat, yang diketahui pihak sekolah dan pengetua tetapi tiada tindakan diambil walaupun aduan sudah dibuat.

Sehubungan itu, plaintif menuntut antaranya ganti rugi am, teruk dan teladan selain perisytiharan bahawa hak kepada pendidikan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, bermaksud pendidikan berkualiti selaras dengan ketidakupayaan dialami plaintif pertama dan kanak-kanak istimewa lain.

Sementara itu, defendan dalam pernyataan pembelaannya berkata, penempatan plaintif pertama di sekolah itu berdasarkan pemilihan oleh kedua-dua plaintif dan mereka bersetuju dengan pemilihan itu selepas melihat kecenderungan plaintif pertama.

Sumber: Berita Harian

Google+ Followers